Monday, January 17, 2011

Nasi Lemak Buah Bidara - Bab 1





Bab 1




"Siti!!!!!!!!!!!!!"




Mak Jah yang sedang menyusun piring dan cawan dimeja makan utama tersentak. Gerak lincah jari-jemarinya terhenti serta merta. Seakan terkena renjatan elektrik. Tangan kanan mengurut dada beberapa kali. Nafas dihela perlahan. Kepala menggeleng perlahan. Apa lagi tu agaknya. Hatinya berbisik. Langkah dibuka menghala ke muka tangga. Kepala yang kemas berbalut scarf putih dari benang kapas itu mendongak ke atas. Sekujur tubuh berisi yang hanya bersarung baju tanpa lengan berwarna hitam dan berskirt pendek paras lutut yang juga sedang menjengah ke bawah ditatap. Bertentang mata kedua-duanya. Rambut hitam berbelang perang tua paras bahu yang lepas bebas bagai mengerbang cukup menyemakkan mata tua mak Jah.




"ada apa cik Zurene?"




"budak kampung tu mana mak Jah?"




"Siti kat belakang cik Zurene. Jemur kain baju. " Tertangkap pada telinga tua mak Jah dengusan kasar Zurene yang diiringi dengan kata makian. mak Jah beristighfar didalam hati.




"panggil budak tu mak Jah. Cepat." Mak Jah mengganggukkan kepala.




Langkah tua mak Jah dihayun sederasnya mengarah ke pintu dapur. Meja makan utama yang sedang diatur untuk sarapan ditinggalkan. Grill ditolak pantas sambil kepala tunduk kebawah mencari selipar untuk disarung. Langkah terus dibawa ke belakang. Sesusuk tubuh yang sedang tekun menjemur pakaian diampaian buluh tertangkap di pandangan. Nafas yang laju tadi dihembus perlahan. Siti..siti...




"Siti...." Gadis berbaju kurung kedah dan berkain batik dengan ikatan tocang ekor kuda itu menoleh. Senyuman dilemparkan pada mak Jah.




"ye mak Jah. "




"cepat nak, tu cik Zurene dah menjerit kat atas. Tinggalkan baju-baju tu dulu. Nanti sambung." Gadis yang dipanggil Siti oleh mak Jah itu menelan air liur. Gerak nafas laju memukul dada. Kedua-dua belah tangan yang sedikit basah disapukan pada peha. Bahunya diusap perlahan oleh mak Jah.

"ada apa yang tak kena ke mak Jah?" kepala mak Jah menggeleng perlahan. Memang tidak diketahui punca anak majikannya itu menjerit tadi.




"mak Jah tak tau. istighfar banyak-banyak ye. Sabar. Dah, pegi cepat. Lagi lambat nanti makin teruk dia mengamuk."




Anak tangga dilangkah laju menuju ke tingkat atas. Saat meniti anak tangga, Siti berselisih dengan Datuk Zainol, kepala terus ditundukkan sedikit lalu mengucapkan salam dan selamat pagi pada tuan rumah tempat dia berteduh itu. Datuk Zainol hanya menganggukkan kepala sambil melangkah turun. Pintu bilik dua disebelah kanan yang sudah terbuka luas dihampiri. Bersama lafaz bismillah Siti melangkah.




"cik Zurene panggil saya?.."




Bupp. Sehelai jaket warna kelabu laju mendarat ke muka Siti sebelum menjunam ke lantai kayu berlamina yang mendasari bilik berkenaan. Perlahan Siti membongkok lalu mengutip jaket tersebut. Tubuh Siti tegak berdiri menatap pandangan tajam gadis muda dihadapan yang sedang bercekak pinggang.




"hei perempuan kampung bodoh!..macammana butang jaket ni boleh nak tercabut...kau tak tengok betul-betul ke masa kau gosok haa?...mana mata kau letak? dah buta ke? kau tau tak berapa harga jaket tu. Gaji kau setahun pun belum tentu boleh bayar tau." Siti menelan air liur. Ya Tuhan...




"maaf cik Zurene, saya tak perasan. Saya jahitkan sekarang." Langkah wanita muda yang yang dipanggil Zurene itu menghampiri Siti. Kepala Siti ditunjal. Beberapa kali. Bergoyang sedikit kepala Siti namun Siti tetap mematung. Mematikan diri. Mengunci mulut. Itu lebih baik. Dia sudah biasa diperlakukan begini oleh gadis muda ini. Malah lebih teruk sudah dirasainya. Ada sahaja yang tidak kena dimatanya. Siti tahu gadis ini amat benci padanya tapi tidak diketahuinya mengapa.




"hei bodoh, kau tau tak dah pukul berapa sekarang..." Lengan yang sedikit gelap dan telanjang itu diangkat ke muka Siti. " tengok jam ni dah pukul berapa?.." Siti hanya menundukkan muka. "




hey, kau pekak ye. Aku tanya ni...jawab la!!!" Mata dihala pada Gucci tali perak yang tersarung di lengan Zurene. " 8.00 cik Zurene." Zurene mendengus. Kasar. "Memang dasar dungu. Tolol. lembab. Sudah, berambus. Menyampah aku tengok muka kau tu. Makin aku tengok muka kau ni, makin sakit hati aku." Lafaz maaf sekali lagi diucapkan sebelum melangkah keluar dari bilik Zurene.

Langkahnya cepat-cepat diatur ke tangga dan matanya berlaga dengan pandangan tajam Datin Junainah yang juga mahu menuruni tangga. Kerlingan tajam wanita itu membuatkan Siti hanya menundukkan kepala. Berdiri tegak. Memberi laluan pada wanita yang berusia lewat empat puluhan itu.

"apa yang bising-bising tu? kau dah buat apa kat Zurene?" Siti mengetap bibir. Renungan wanita itu membuatkan dadanya berdegup kencang.

"butang jaket ni..." jaket ditangan diangkat sedikit. "tercabut Datin."

"tak habis-habis buat hal kau ni. Sudah, cepat turun siapkan sarapan Zurene." kepala diangguk perlahan, tubuh dibongkokkan sedikit meminta izin untuk turun sebelum laju melangkah menuruni anak tangga.

Pintu bilik kecil ditepi dapur dikuakkan. Jaket ditangan diletakkan diatas katil bujang yang berhamparan kain cotton berkotak-kotak rona hijau. Langkah diatur keluar dari bilik. Tombol pintu ditarik rapat.

"ada apa tadi Siti." Pintu kabinet dibuka. Sebuah gelas kristal dikeluarkan. Gelas yang hanya untuk kegunaan Zurene. Wajah mak Jah yang menoleh padanya dari sinki dibalas dengan senyuman kecil.

"takde apa mak Jah." Maj Jah sudah menggelengkan kepala. Masak benar dengan perangai gadis yang satu ini. Sukar sekali mendengar dia melafazkan kata-kata buruk tentang penghuni rumah ini apatah lagi bercerita tentang apa yang mereka lakukan padanya . Apa jua yang melanda dirinya, ditelan seorang diri.

"Jus carrot cik Zurene dah ambil ke mak Jah?" Siti cuba mengalihkan perhatian mak Jah. Tiada guna berbicara perihal ini. Sudah lali telinganya menelan segala cerca dan cerci sejak enam bulan menjadi penghuni tetap di mahligai ini.

"Belum. Mak Jah tak keluarkan dulu. Nanti tak sejuk pulak. Karang mengamuk lagi." langkah Siti diatur ke Panasonic kelabu yang tersergam disudut dapur. Dibuka pintunya yang seakan pintu almari itu lalu dikeluarkan kotak jus carrot. Diselak muncung kotak yang sudah terbuka lalu dituangkan ke dalam gelas kristal tadi.

"takpe mak Jah. Siti nak hantar jus ni dulu. Karang cik Zurene marah pulak tengok jus dia takde."

"Hati-hati Siti." Kepala dianggukkan sambil melempar senyum kecil pada mak Jah yang sedang mengupas bawang kecil dan bawang putih untuk persediaaan untuk memasak hidangan tengahari nanti.

Gelas kristal diletak berhati-hati di meja makan utama. Datuk Zainol yang sedang menatap The Edge hanya dipandang sekilas. Datin Junainah yang menghirup kopi turut terlihat oleh kilasan matanya. Cawan kosong Datuk Zainol ditoleh. Jag kopi dicapai lalu dituangkan kedalam cawan itu berhati-hati.

"morning mama, papa." Bibir merah dan berkilat Zurene sudah singgah di pipi Datin Junainah. Bahu wanita itu dipeluk. menguntum senyum Datin Junainah. Saat mata Siti dan mata Zurene bertembung, kerlingan tajam mata galak itu menikam mata bundar Siti. Pantas kepala ditundukkan lalu langkah diatur meninggal meja makan menuju ke dapur. Zurene hanya memandang tajam tubuh Siti yang melangkah ke ruang dapur.

Datuk Zainol meletakkan akhbar yang baru dibaca di atas kerusi bersebelahan. Wajah hitam manis satu-satunya anak gadis bersama arwah isterinya ditenung.

"apa hal yang sampai terjerit-jerit pagi-pagi ni Zurene. Kan tak elok macam tu. Papa rasa jiran pun boleh dengar suara Zurene tuh. Selalu sangat dah Zurene. Cubalah hentikan menjerit ni. Tak manis. " Zurene sudah mendengus. Sekeping roti yang sudah siap bersalut jem nenas kesukaannya dicapai lalu disuakan ke dalam mulut. Zurene pasti tentu mama yang melakukan untuknya. Bencinya ditegur begitu. Papa selalu sahaja tidak setuju dengan tiap perilakunya. Papa tidak seperti mama yang begitu memahami dirinya.

"papa...tau tak apa budak kampung bodoh tu.." jari telunjuk lurus dihala ke arah dapur. "dah buat pada baju Zurene?...butang jaket yang mama belikan kat Munich tu tercabut. Zurene ingat nak pakai pagi ni. Ada meeting dengan jurutera perunding untuk projek baru kita tu. Papa pun tahu kan." Gelas kristal dicapai. rakus disuakan ke bibir. Datin Junainah mengerling tajam menoleh ke dapur. Sakit hati dengan aduan Zurene. Datuk Zainol sudah menggeleng kepala. Zurene terlalu dimanjakan mamanya hingga adakala berkelakuan keterlaluan.




"Kalau iye pun..." Wajah Zurene yang masam mencuka kerana ditegur dipandang. Anak ini hatinya sudah keras seperti rebung tua. Silapnya juga membiarkan Junainah keterlaluan mengikut telunjuk Zurene. "tak boleh ke Zurene panggil Siti elok-elok. Dia tu kan ada hubungan saudara dengan mama." Zurene sudah mencebik sambil memandang Datin Junainah. "saudara apa papa...budak bodoh tu cuma cucu angkat arwah mak mama je. Bukannya mama kenal sangat pun dengan dia...kan mama?" Datin Junainah tersenyum kecil sambil menganggukkan kepala. Datin Junainah meminta Zurene segera menghabiskan sarapan kerana khuatir dia akan lewat ke pejabat nanti untuk menghadiri mesyuarat yang disebut awal tadi. Tidak elok membuat pelanggan itu tertunggu pada kali pertama berkunjung ke pejabat anaknya itu. Zurene akur. Jus carrot dihirup hingga licin. Pipi Datin Junainah dicium. Sedikit tidak menolah pada Datuk Zainol. Hanya gelengan kepala Datuk Zainol yang mengiringi langkah Zurene hingga ke muka pintu.




"you terlalu memanjakan dia June. You spoil her. Very much. Adab dia dah takde langsung. Dengan i pun dia kadang-kala tak hormat." Datin Junainah mencapai kepingan apple hijau yang sudah dihiris lalu disuakan ke dalam mulut.




"ala bang, Zurene tu kan masih budak-budak. Biarkan je la bang. Nanti-nanti tu dia oklah. Angin dia tengah tak baik tu kan. Selalunya dia ok kan." Datuk Zainol memandang pada wajah tidak bersalah isterinya. Sama sahaja dua beranak!




"siapa consultant baru yang Zurene nak jumpa hari ni tu bang?"




Pertanyaaan Datin Junainah mengingatkan Datuk Zainal pada pertemuaan kelmarin dengan pemuda tersebut. Dia diperkenalkan dengan pemuda itu oleh rakan golfnya Tan Sri Salleh. Kata Tan Sri Salleh, anak muda ini bukan calang-calang profilnya. Baharu sahaja dianugerahkan Tokoh Usahawan Muda didalam anugerah kecemerlangan EOY yang dianjurkan oleh sebuah firma perakuanan terkemuka dunia. Melihat penampilan anak muda yang memegang jawatan Pengarah Urusan U.T. Builders Berhad itu Datuk Zainol sudah kagum pada pencapaian cemerlangnya dibidang perniagaan biarpun asalnya dia tidak mempunyai kelayakan akademik didalam bidang tersebut. Bidang yang dipelajari di universiti dahulu jauh menyimpang. Datuk Zainol dimaklumkan dahulunya MD U.T. Builders itu adalah bekas seorang pendidik.




"abang...abang?" panggilan bertalu dari Datin Junainah mencantas lamunan Datuk Zainol.




"dah sampai mana tu abang. June tanya abang khayal je." Cawan kopi dihadapan dicapai. Dihirup hingga licin.




"abang dengar apa yang June tanya tadi. Abang teringatkan consultant tu tadi. Ingat masa abang jumpa dia kelmarin kat KLGCC. Bagus budaknya. Ada karisma walaupun muda lagi dah jadi MD."




"muda ke bang?"




"muda jugak. Late 30's abang rasa."




"kaya?"




"issh you ni. ke situ pulak."




"yealah. Mana tau kan...boleh matchkan dengan Zurene ke. Abang juga yang untung nanti kan."




Datuk Zainol sudah menggelengkan kepala memandang Datin Junainah yang menyimpul senyum memasang angan-angan.


2 comments:

aqilah said...

suka...suka!!!! baru baca first part dah menarik, tertarik ,..da boom!!!!

Atty Ismail said...

Atty sempat bc kat blog dulu..Mmg best!!!!!