Bab 23
Beri diri kau peluang, Laila..
Beri diri dia peluang, Laila...
Laila geleng kepala. Keluhan kecil terlontar dari rongga mulut. Skrin ienovo ditatap seketika sebelum menolak kalkulator ke tepi. Papermate ditangan dilepaskan ke meja. Laila tutup dua fail hitam yang tertera label "Penyata Jualan Bulanan " dan "Inbois". Diletakkan ke tengah meja. Jari telunjuk dan ibu jari mengurut pangkal hidung.Tubuh yang terhenyak di disandarkan pada leher kerusi. Mata dipejamkan seketika. Laila tidak tahu mengapa dirinya rasa serba tidak kena hari ini. Segala yang dilakukan bagai tidak sempurna. Fikirannya terhadap kerja langsung tidak berjaya difokuskan hari ini. Semuanya bertempiaran. Hatinya juga sama. Bagai berkomplot kedua-duanya. Laila bangkit dari duduk. Dihala langkah ke jendela dihadapan meja. Rimbunan pepohonan hijau yang menghiasi landskap persekitaran pusat pameran ditatap. Damai pandangan mata dirasakan. Dihirup nafas dalam-dalam. Mahu dipinjamkan rasa kedamaian itu agar mampu diserakkan ke minda dan diserapkan ke hati. Kerjanya masih banyak yang tidak selesai lagi. Dia perlu fokus. Laporan jualan bualan harus diselesaikan hari ini. Dia perlukan rasa tenteram. Kucar-kacir di hatinya saat ini harus dilontar jauh-jauh seketika. Dihidangkan jiwanya seketika dengan permai saujana kehijauan tumbuhan dihadapan mata. Dia gundah bila dirinya tidak seperti biasa. Entah kenapa agaknya..
Wajah itu datang lagi...seperti mimpinya malam tadi.
Senyum itu muncul lagi...sama seperti yang dilihat dalam lenanya malam tadi.
Kata-kata itu terngiang-ngiang lagi di cuping...untuk kesekian kalinya.
Bisik-bisik halus itu menggoncang tangkai hatinya lagi...
Laila lelah...
Laila cemas...
Dipejamkan mata. Seketika...
Laila letak tangan di dada. Mata masih lekat pada kehijauan pemandangan dari dalam jendela. Dihela nafas perlahan. Bibir mengucap lafaz istighfar. Berulangkali. Dipanjatkan doa didalam hati agar memberikan ketenangan hati untuk melaksanakan tugas yang sedang cuba disempurnakan. Laila raup wajah. Kembali disusun langkah mendekati kerusi baldu tempat duduknya tadi. Dilabuhkan duduk. Kata-kata Ain semalam berbisik di telinga. Berbisik untuk kesekian kalinya hari ini. Laila kemam bibir. Tangan kanan mengurut pelipis perlahan seketika sebelum jatuh ke riba. Tangan kanan dan kiri saling meramas. Debaran itu hadir lagi. Tidak pernah dirinya berkeadaan begini sebelum ini. Entah kuasa apa agaknya yang "dia" itu gunakan padanya hingga Laila jadi lumpuh begini. Mata memandang ke arah laci ditepi meja. Tangan perlahan-lahan dipanjangkan. Ditarik perlahan-lahan. Gajet hitam itu dicapai. Digenggam. Laila renung skrin N9 ditangan. Dilepaskan nafas untuk kali yang entah ke berapa. Dia sendiri tidak terhitung.
Betulkah apa yang aku buat ni?
Betulkah ini jalannya?
Benarkah "dia" itu jawapan pada segala gundah gulana yang sedang menimpa dirinya ini?
Benarkah "dia" kunci yang dicari peti hatinya selama ini?
Lafaz bismillah diucap. Jari-jemari runcing menekan butang. Perlahan-lahan dicari empunya nama yang mengganggu tidur dan lenanya sejak semalam. Ditatap nama dia yang mengganggu ketenteraman jiwanya sepanjang hari ini. Jari halusnya perlahan-lahan menekan butang memanggil. Laila hela nafas sambil memejamkan mata. Telefon dilekatkan ke cuping.
"assalamualaikum. Wazif..."
* * * * * * *
Wazif senyum. Manis sekali.
"Waalaikumsalam. Insyaallah. Saya jemput awak lepas maghrib nanti. Hati-hati drive balik ,hmmm." Samsung Note ditatap lama. Seolah-olah menatap wajah "dia" yang sedang tersenyum padanya. Wazif geleng kepala. Sudah parah sungguh dirinya ini kerana mengingati "dia" yang satu itu. Bibir masih terus mengapung senyum yang seakan-akan mahu disebarkan keseluruh ruang bilik. Kepala disandarkan ke kerusi.
"ehem..."
"ehemmmm..."
"assalamualaikum anak umi..."
"assalamualaikum encik Zahwan Wazif Hanafiah!"
Wazif yang leka melayan awangan perasaan yang sedang berbunga di jiwa tersentak. Sebutan nama lengkapnya yang sedikit kuat membuatkan mata terbeliak sedikit. Mata pantas memandang ke pintu. Lirikan senyuman umi bersama gelengan kepala yang perlahan membuatkan Wazif tersipu-sipu. Rona yang memecah di pipi gagal disembunyikan. Uminya terlebih dahulu sudah melihat. Jari telunjuk umi ditekankan ke pipinya. Isyarat memberitahu keadaan pipi Wazif yang pastinya sudah merona.
Puan Zahra melangkah perlahan ke dalam bilik. Ditutup pintu bilik anaknya ini. Dilabuhkan duduk dihadapan Wazif. Coach putih gading ditangan diletakkan di atas kerusi bersebelahan. Mata terus menatap wajah Wazif yang jelas tidak dapat melarikan diri lagi. Dia yakin anaknya ini tahu dirinya sudah terperangkap! Puan Zahra tersenyum dalam hati.
"wanna share with umi,hmmm?" Puan Zahra angkat kening. Tersuring senyum pada ulas delimanya yang dihiasi rona merah lembut Arty dari Dior Addict. Hujung selendang yang melorot ke hujung bahu ditolak perlahan. Disandarkan tubuh pada kerusi baldu yang diduduki.
Wazif senyum. Menggelengkan kepala.
"dengan umi pun nak rahsia,hmmm."
"mana ada rahsia umi. Takde apa-apa."
Puan Zahra ketawa kecil.
"sayang, umi ni kenal sangat dengan awak tau. Awak tu anak umi. Satu-satunya anak umi. Dari sebesar tapak tangan umi jaga awak. Umi tahu sangat gerak-geri awak itu. Jadi kalau awak rasa awak boleh selindung atau sembunyikan apa-apa dari umi ni...awak silap, sayang. Naluri seorang ibu itu tidak terjangkau akal tau."
Wazif ketawa kecil. "umi, umi..."
"so?"
Wazif angguk kepala perlahan. "ok ok...umi menang."
Puan Zahra senyum. Manis. Wazif tatap wajah uminya yang sedang memaku pandangan dan senyum manis padanya.
"dia call Wazif tadi.." Wazif kemam bibir. Tersipu. Malu ditatap uminya sendiri. Debaran didalam hatinya mula terasa bila mengingatkan kembali tiap bait kata-kata yang diucapkan Laila sebentar tadi.
"hmmm...." Puan Zahra angkat kening. "any good news?"
"dia nak jumpa Wazif malam ni."
Puan Zahra angguk kepala. Dia tahu dan sangat maklum siapa "dia" yang dimaksudkan Wazif. Seraut wajah cantik itu terakam di minda. Senyum makin lebar. "hmmm. A date?"
Wazif senyum. "i guess. She wanna say something. That's what she told me. Can't wait to meet her tonight."
Puan Zahra senyum. Faham sangat dengan rasa yang tersimpan dihati anak tunggalnya ini. "Umi harap berita baik,hmmm."
"Wazif pun harap macam tu umi."
"insyaallah,sayang....baik buat Wazif...juga buat umi dan walid. Dah lama umi dan walid tunggu ni."
"insyaallah umi. Umi doa-doakan hati Laila terbuka buat Wazif."
Puan Zahra capai tangan Wazif. Dielus lembut. Wajah tampan anak tunggalnya ini ditatap. Wajah Laila yang ayu dengan senyumannya yang polos terlayar di minda.
"umi tak pernah putus doakan buat kamu berdua. Umi harapkan sangat Wazif dan Laila bersatu. Umi sayang kamu berdua."
Wazif balas genggaman tangan uminya. Wazif tahu hubungan mesra umi dengan Laila yang bermula di pusat pameran kala umi diminta membelikan hadiah korporat buat teman rapat walid dari luar negara. Malahan kata umi dia pernah diundang makan malam ke rumah gadis itu. Kata umi, Laila handal di dapur!
"terima kasih,umi. Moga Allah makbul hasrat dan doa umi." Wazif senyum. Penuh bermakna.
* * * * * * *
"issh, ada pulak aku kena ikut. Apa hang ni, Laila. Tak syoklah lagu tu. Sure dia tak selesa nanti tau kalau aku dok tercogok sama kat situ tengok korang berdua. Sah-sah dari dia nak bukak mulut, langsung dia bisu nanti. Apa laa. Kacau daun hang tau tak..K-A-C-A-U..D-A-U-N." Ain membuntangkan biji matanya sambil tangan mencekak pinggang. Tubuh berdiri mengadap Laila yang masih duduk bersila diatas katil.
Laila memuncungkan bibir. Ain mahu tergelak dengan gelagat comel Laila yang nyata gabra dengan tindakannya sendiri. Sewaktu sampai dirumah tadi terkejut juga Ain melihat Myvi putih Laila sudah terparkir di halaman. Hairan kerana Laila pulang awal hari. Tidak seperti selalu. Hati yang bimbang jika ada sesuatu yang terjadi pada teman serumahnya itu membuatkan kaki melangkah sederas mungkin mendaki tangga menuju ke bilik Laila di tingkat dua. Dan sewaktu tiba dihadapan bilik temannya itu, pintunya sudah sedia ternganga dengan Laila sedang duduk bersila diatas katil sambil menongkat dagu. Wajahnya jelas gundah. Bagai sedang memikirkan sesuatu yang maha berat lagaknya. Sebaik dilabuhkan duduk dan bertanya kenapa temannya itu berkeadaan demikian. Bibir mungil itu terluncur berkata..
"aku ajak dia jumpa aku malam ni.."
"haa? kau ajak dia jumpa? malam ni?"
"ha'a.."
"biar betul kau ni Laila..."
Laila angguk kepala. "betul. Tiada yang tidak betul. Semuanya betul belaka."
"sempat kerek dengan aku lagi tu. Haa pasal apa kau ajak dia jumpa? kau rindu dia ek?"
Laila menjeling kecil. Ain ketawa. "Aku nak cakap pasal aku dengan dia laa. Nak cakap pasal hal yang dia tanya tu. Aku kena cakap jugak la Ain. Selagi aku tak cakap keputusan aku, selagi tu lah hati aku ni tak tenteram..fikiran aku tak menentu dibuatnya."
Tangan Ain digoncang.
"tapi..tapi aku risau ni. Aduh, macammana ni Ain. Apa..apa aku nak cakap kat dia karang." Laila ketuk kepalanya perlahan. Tangan kembali menggoncang tangan Ain. " Ain..Ain, kau teman aku, Ain. Teman aku malam ni jumpa dia, ye."
"issh...gila kau!"
"alah..Ain, please laa. Sekejap je."
"issh, taknak la aku..."
"ala Ainnnnnnn. Tolonglah. Aku seganlah jumpa dia berdua ja."
Ain masih bercekak pinggang. Kepala laju menggeleng. Wajah cemberut bercampur resah yang terias di raut muka Laila direnung.
"dia datang jemput kau kan."
Laila angguk.
"then, pergi je la berdua dengan dia. Apa yang nak disegankan. Kau bukan tak pernah keluar dengan dia kan."
"tu lain, Ain. Ni lain..Lain sangat. Jomlah teman aku eh."
"sama je. Kau tengok dia, dia tengok kau. Sama je kan. Bukan muka dia tukaq jadi lain pun."
"ala Ain. Aku...aku takut la Ain."
Ain mencebik.
"dia tu raksasa hijau yang makan orang ke?"
"kau ni..main-main tau. Orang tengah runsing plus panik ni. Gabra tau tak...G-A-B-R-A."
Ain ketawa kecil.
"eleh, baru keluar date kacang macam ni dah gabra peringkat infra merah, kalau kau nak kahwin dengan dia nanti...mau kau pengsan pulak."
Laila mencebik.
"dah dah. Cepat pergi mandi. Dan Azan tu. Solat maghrib dulu. Doa banyak-banyak. Minta Allah lapangkan fikiran kau, tenangkan hati kau yang gabra tu." Ain tepuk bahu Laila perlahan.
"Ainnn...." Laila masih merayu.
Ain geleng kepala.
"kau percaya dia kan, hmmm."
Laila mengangguk perlahan.
"then..serahkan semuanya pada Dia, insyaaallah."

+of+kucing.jpg)





7 comments:
comel la laila nih
wah sgt best...laila dh nk bagi jawapan huhuhu x sabar nak tahu ape yang berlaku time mereka date XD
Best... laila dah berani buat keputusan yang bijak... cuba buka hati buat Wazif... Terima kasih umi sebab menjadi penyokong Wazif selama ini untuk memiliki hati Laila.... bukan senang tau....
yess!!!! laila dah ada jawapan n i hope positive la ya. hehehe... comel tgk Laila gabra, dulu punya jual mahal ha... skrg camna. hikhikhik
oh laila..
harap2 awak kata 'ya'..
'i do'..
'yes'...
atau apa2 je asalkan menggembirakan hati wazif..
terbaik kucc...
alahai sweet giler E3 ari ni..
dah nampak wazif kat cloud 9 terapung apung comel dan cute giler..
thanks kucc..krn tlh membuka pintu hati Laila untuk wazif..Harap Laila terima wazif ..bila wazif mengajak nya berkawen sat lagi..tak naklah mereka berkawan atau bertunang..nanti byk cubaan..dan dugaan utk perhubungan mereka ini..Plz..kalau da kawen ..da terikat..kalau diduga pun ..insya allah tak kan terlerai punya..kan ..kan..
wahhh..x sabar nk tggu date nnt..wazif berdebar2, laila pun berdebar2..hehehe
Post a Comment