Blogger Backgrounds

Saturday, January 7, 2012

Kerana Aya Sofya - Bab 28


Bab 28


Laila meraup wajah. Terpejam mata seketika. Dibiarkan kedua-dua belah tapak tangan mendarat di permukaan mulus licin itu sebelum perlahan-lahan dijatuhkan tangan ke riba. Diucapkan perlahan lafaz kesyukuran pada-Nya. Ditegakkan tubuh dari simpuh.Telekung yang tersarung di badan ditanggalkan. Dilipatkan kemas. Dibawah langkah mendekati rak penyidai di tepi kabinet. Disangkutkan telekung yang dilipat di kayu penyidai. Dicapai sejadah, dilipat lalu ditebarkan diatas telekung. Langkah kembali dibawa ke katil. Dijatuhkan tubuh di atasnya. Dilepaskan nafas yang terkepung. Mata memusat pandangan pada siling. Perbualan dengan Wazif tadi terngiang kembali. Tiap patah dan bait kata-kata yang terlontar lembut dari bibir lelaki itu masih tersemat di kepala.


Laila tahu keikhlasan Wazif terhadap dirinya sepanjang perhubungan mereka. Kejujuran lelaki yang semakin kukuh bersemi didalam sanubarinya ini jelas terlihat dari sikapnya terhadap Laila. Kata-katanya selama ini sudah cukup membuktikan kesungguhan dirinya dan rasa kasihnya yang utuh pada Laila. Lalu kenapa hati kecilnya ini masih terus berdebar. Mengapa? Biarpun sudah diyakini oleh Wazif akan penerimaan kedua-dua umi dan walidnya terhadap diri Laila, dan juga restu mereka terhadap hubungan antara Laila dan Wazif, didalam hati tetap terdetik gusar yang bukan sedikit. Bimbang dan ragu saling bersaing. Berlumba-lumba mengetuk dinding jiwa. Hati sering juga dicuit bisik-bisik curiga adakah benar-benar dirinya ini diterima dengan tangan terbuka oleh pihak orang tua Wazif..atau lelaki cuma menyulam kata-kata manis demi mahu menenangkan hatinya yang berkecamuk. Tapi Wazif yang dikenali tidak mungkin berkata dusta. Wazif tidak mungkin akan membohonginya. Wazif bukan begitu orangnya!


Mengenang peribadi istimewa lelaki itu, jiwanya yang sedang gundah saat ini jadi tenang seketika. Lelaki itu sesungguhnya banyak mengajar Laila erti hidup. Erti bahagia. Erti sebenar perasaan yang selama ini cuba disembunyikan dari hatinya. Dari lelaki yang melimpah ruah rasa cinta didalam jiwanya itu Laila dibawa menjelajah dan mengerti tentang rasa cinta..rasa dicintai..dan rasa mencintai. Jiwa halusnya dibawa berbuai tentang sisi indah hidup yang selama ini diabaikan. Semuanya demi rasa tanggungjawab yang terlafaz di jiwa buat insan kecil yang amat memerlukan dirinya lebih dari segalanya. Kerana Aya Sofya, bahagia diri sendiri dipadamkan dari kamus hidup. Dinyahkan jauh-jauh. Bahagianya hanya buat Sofi. Dan bahagia Sofi adalah kemuncak segala-galanya dalam hidup. Bila Sofi pergi, jiwanya benar-benar rasa kosong. Biar cuba disembunyikan rasa kekosongan itu dengan ceria yang terpancar di wajah dan senyum manis yang terukir dibibir dan tawa yang terakam di lorong suara, hakikatnya disudut hati Laila tetap sunyi. Sepi. Hidupnya berkalang duka. Apatah lagi diri disingkir dari keluarga. Tiada tempat disandarkan sedih. Selama ini, hanya pada bahu Ain dihamburkan semua hiba. Temannya itu insan tempat dia mengadu. Tiada lagi orang lain. Hinggalah Wazif hadir. Kehadiran yang tak ubah bagaikan gemerlapan kejora di langit kala malam penuh gemilang...penuh cemerlang dengan kerlipan ribuan bintang. Hadir menghulur selaut kasih buat dirinya. Dan bibit kasih di hatinya buat lelaki ini makin menguntum mekar. Harum mewangi di taman jiwanya. Segunung harapan dipautkan buat lelaki ini. Moga kasih antara mereka yang kian meranum ini tidak akan sirna sampai bila-bila. Buat Laila, nama lelaki ini makin terpahat kukuh dihatinya. Tidak akan terpadam...sampai bila-bila!


Mata yang kian kelam perlahan-lahan menutup ruang kedua-dua kelopak. Dalam khayal tidur yang kian memuncak, cuba dipahatkan di dinding jiwa akan bilah-bilah keyakinan yang dilafazkan Wazif tadi. Moga dirinya yang tidak sempurna ini benar-benar diterima dengan tangan terbuka oleh umi dan walid lelaki itu. Moga dirinya yang penuh kisah silam nan mencarik sejarah duka sebuah keluarga akan dialu-alukan kehadirannya tanpa sebarang rasa yang tersembunyi di hati. Moga-moga segalanya akan baik-baik sahaja di pertemuan pertama itu nanti. Insyaallah.


Tuhan...berkati hambamu ini. Kasihi hambamu ini. Berikan peluang diri ini mengecap bahagia...sekali lagi.


* * * * * * *


Langkah Wazif laju menuju ke ruang dapur saat hidung terhidu aroma harum yang cukup biasa dijamah deria baunya. Susuk tubuh umi yang lengkap menyarung apron biru berjalur putih itu didekati. Salam dihulur. Uminya menoleh. Berbalas senyum seraya menyambut huluran salam Wazif. Kerusi kayu di meja makan comel yang terletak di tengah ruang dapur kering umi ditarik perlahan. Dilabuhkan duduk. Mata melata memandang persekitaran meja.


"banyaknya umi buat pie."


"kan bakal menantu umi nak datang dinner malam ni. Dia suka makan apple pie ni. Ini dessert favourite dia...sama macam orang tu." Puan Zahra angkat kening melata pandangan ke wajah Wazif seraya tersenyum manis.


"Laila suka makan apple pie?" Wazif membalas renungan uminya. Puan Zahra mengangguk. Wazif terus memandang wajah manis uminya. Sesuatu sedang menjalar di minda. Kepala mengangguk. Senyum segaris tersuring di bibir.


Puan Zahra mengangguk. Terus tersenyum. Dulang pembakar ditarik keluar dari ketuhar. Berhati-hati. Dibawa ke meja dan diletakkan di atas dulang berbentuk jaring yang sudah sedia menanti.


"Ingat tak dahulu umi cerita pernah dinner rumah dia..Laila yang jemput umi. Dia masakkan umi nasi beriani yang sedap tu. Ingat?"


Wazif angguk. Masih segar diingatan kisah itu. Kisah yang mulanya cuba dirahsiakan tapi akhir terlucut juga bila umi sendiri membukanya. Semuanya kerana umi sudah tidak sabar mahu Laila dibawa masuk ke dalam keluarga mereka. Kekerapan umi bertemu dan menziarahi Laila di pejabat membuatkan hubungan umi dan Laila makin akrab serta mesra. Kata umi, Wazif bertuah. Laila terlalu istimewa dengan caranya yang tersendiri. Segala kelebihan dan keindahan peribadi gadis pujaannya itu dibentangkan umi..satu persatu. Kata umi, dia sungguh-sungguh sudah terpikat dengan Laila!


Beberapa apple pie comel yang sudah siap dikeluarkan dari dulang pembakar disusun satu persatu di atas dulang berbentuk jaring. Mahu disejukkan dahulu sebelum dipindahkan ke dalam bekas. Apple pie yang dimasak lebih untuk makan malam mereka juga mahu dijadikan buah tangan untuk dibawa pulang oleh tetamu istimewa mereka nanti.


"kan malam tu umi bawa apple pie sebagai buah tangan buat Laila. Dia suka sangat. Dia makan banyak apple pie umi tu. Kata housemates Laila, si Ain dan Anum, Laila memang hantu apple pie! Pantang jumpa. Diorang memang maklum sangat kegemaran Laila yang tu. Laila pun pandai buat apple pie yang sedap. Umi pernah rasa, Zif. Memang sedap sungguh!"


"umi tak pernah cerita tentang hal ni sebelum ni pada Zif."


Puan Zahra menggeleng seraya tersenyum. Wajah tampan anak tunggalnya ini ditatap penuh kasih.


"ni umi dah cerita. Zif mestilah dah tahu kan kesukaan buah hati Zif tu lebih awal dari umi kan,hmmm."


Senyuman manis terukir dibibir Wazif. Wajah ayu Laila terlayar di mata.


"dah lama tahu umi."


* * * * * * *


"assalamualaikum..." Salam dihulur Laila. Wazif yang santai dengan tee putih dan Levis biru pudar berdiri dihadapan ditatap lembut.


Wazif tunak tidak berkelip memandang figura indah yang menyarung kurung sutera biru firus. Tudung firus muda yang melengkapkan penampilan begitu mempersonakan mata yang memandang.


"waalaikumsalam.."


"ready?"


Laila angguk.


"jom.."


Tali pinggang ditarik perlahan. Lirikan mata jelas melihat Wazif sedang merenung lagi dirinya lagi. Entah mengapa sejak dari pintu rumah tadi hinggalah mereka masuk ke perut Harrier ini, Wazif dikesan tidak lepas memandangnya. Berbahang juga rasanya pipinya bila terus-terusan ditatap begini. Diangkat kepala perlahan. Bertembung pandangan kedua-dua. Laila senyum. Debaran di hati cuba ditenteramkan.


"kenapa ni,hmmm. Dari tadi pandang-pandang...senyum senyum. Ada yang tak kena pada saya ke, awak.."


Wazif tersenyum. Mata bundar Laila yang cantik bersinar malam ini ditatap terus.


"awak buat saya terpegun...buat saya terpesona. Susah mata saya ni nak berkalih dari terus memandang awak. Umi dan walid saya pasti tak berkelip tengok bakal menantu diaorang yang cantik sangat malam ni." Wazif mengenyitkan mata. Senyumannya makin lebar. Laila tersipu.


Enjin Harrier yang bergema terus digerakkan. Isyarat ke kanan diberikan.


* * * * * * *


Laila telan air liur saat mata terhenti pada susuk tubuh yang cukup dikenali yang sedang diperkenalkan padanya.Susuk tubuh anggun yang sedang berdiri menantinya diruang tamu banglo yang serba indah ini. Langkah kaki terasa bagai tidak mampu menahan lagi diri yang bila-bila masa akan terjelepuk. Dihela nafas perlahan. Jantung dirasakan seolah-olah berdenyut sekali ganda lajunya. Wajah anggun dihadapan terus ditatap. Dengan payah dihulur salam. Tidak disangka wanita yang cukup dikenali ini rupa-rupanya umi Wazif. Alangkah kecilnya dunia ini.


"aun...auntie umi Wazif?"


Puan Zahra angguk. Tersenyum lebar. Encik Hanafiah disebelah turut tersenyum memandang.


"ya, sayang. Tapi bukan lagi auntie. Kena panggil umi mulai sekarang,hmmm."


"u..umi?" Laila pandang Wazif yang tersenyum sambil menganggukkan kepala sebelum kembali menatap Puan Zahra dihadapan. Senyuman Puan Zahra saling bersulam dengan senyuman encik Hanafiah disebelah. Tangan terasa menggigil. Dalam rasa ketidakpastian yang menghentam di hati, dihulurkan juga sepasang tangan kepada dua insan istimewa dihadapannya saat ini. Ditundukkan tubuh sedikit tanda hormat. Tangan yang digenggam dikucup dengan santun. Saat ditegakkan tubuh, dirinya diraih dalam pelukan puan Zahra. Terdengar bisikan halus penuh indah yang meranapkan segala kegusaran dan kerunsingan Laila beberapa malam kebelakangan ini. Ada getaran yang bertiup di dada.


"welcome to the famiy, sayang. Umi dah lama tunggu kedatangan Laila. Kami semua dah lama menanti saat ini."


Pelukan perlahan-lahan terlerai. Mata mereka saling bertaut. Tangannya digenggam erat oleh puan Zahra. Tubuh dipaut penuh erat. Ada rasa kasih yang tertumpah saat ini. Diri rasa dilimpahi bahagia yang tidak bertepi. Mata menoleh memandang Wazif dan walidnya yang menjadi pemerhati. Senyuman manis lelaki itu terukir indah. Bibir Laila mengorak senyuman paling indah untuk dihadiahkan pada lelaki itu.


"jom kita makan,hmmm. Umi dah masak istimewa malam ni untuk bakal menantu umi ni." Tangannya yang masih erat dalam genggaman tangan puan Zahra ditarik lembut menghala ke ruang tengah. Wazif dipandang sekilas. Senyuman lelaki itu dengan anggukkan kepala dihadiahkan padanya.


Laila tatap piring yang diletakkan Wazif dihadapannya. Air liur ditelan. Ditoleh memandang kesebelah. Senyum Wazif melebar.


"Wazif yang beria-ia mintak umi prepare dessert tu untuk Laila." Laila senyum segaris. Wazif disebelah dipandang lagi. Lelaki itu mengenyitkan mata. Jaga dia!


"Setahu umi Laila suka apple pie sahaja kan, sayang. Tapi tak tahu pulak rupanya Laila suka makan apple pie ni dengan ais krim ya. Katanya ni resipi yang Laila ajar dia. Best katanya." Laila toleh lagi memandang Wazif untuk kesian kalinya. Dan bibir lelaki itu masih menguntum senyum manis. Laila ketip bibir.


"Tu yang umi prepare dessert yang sama untuk kita semua. Umi dan walid nak cuba jugak. Mesti sedapkan. Makanlah." Puan Zahra dan encik Hanafiah sudah membenamkan garfu pada ais krim yang terhidang bersama sebiji apple pie comel dalam piring yang sama. Encik Hanafiah turut meminta Laila menikmati hidangan pencuci mulut yang sedang terhampar didepan mata. Laila senyum dan menganggukkan kepala. Mata menala pemandangan yang sedang terhidang di depan mata. Ais krim!!!


Wazif hulur garfu kepada Laila. Senyuman manis terus terukir pada bibir lelaki disebelahnya ini.


"makanlah. Special untuk awak." Dibisikkan seperlahan mungkin. Dikenyitkan mata memandang Laila yang tidak berkelip memaku bebola matanya yang bundar ke arah wajahnya. Disimpulkan senyum yang mahu meledak. Ketawanya pecah didalam hati.


Laila tatap piring dihadapan. Dijatuhkan garfu perlahan-lahan. Ditelan air liur.


Ain...tolong aku!!!.

8 comments:

zawani mukhtar said...

wow.... besh... thanxs cik writer

canim said...

pandai wazif...nak juga tgk laila mkn ais krim .... penerimaan umi n walid wazif selesai sudah...pas restu ni umi n walid laila pula... thanks kucc....

aisy said...

laila x suka ice cream kan..hahhaha

sGurL90 said...

Jangan laila termuntah kat situ dah la akibat makan aiskrim tuh...
Jatuh saham laila yang tinggi depan bakal mentua nanti...

Nampaknya wazif mesti dah tau laila tipu dia pasal aiskrim hari tuh...
Jadi nak jugak kenakan laila balik...

IVORYGINGER said...

hahaha... dah kantoi Laila... tu la aritu kononnya nk cover tgk arini wazif dah balas. dah la Laila alergik dgn aiskrim. la kena jgk makan sbb nk jg air muka umi n walid. ahaks... apa ya jd lps ni??? cepat sambung ya kucc. ;D

Anor said...

kucc tk, ada lagi sambungnanya...
nak lagi..

srikandi said...

nakal jugak wazif ni...huhuhuhu

sue said...

tu lah Laila siapa suruh tipu dengan En Peguam dulu... kan dah kena ... hahaha...
Balik nanti siap Wazif kena dengan Laila pulak...
Umi dan Wali Wazif terlalu sayang dengan Laila...
Berilah sokongan pada Laila untuk menghadapi keluarga Laila pula.... jeng,jeng,jeng.....