Blogger Backgrounds

Sunday, January 15, 2012

Kerana Aya Sofya - Bab 31


Bab 31


Laila geleng kepala. LV yang tersangkut dibahu sedikit mengelungsur. Pantas ditolak sedikit ke atas. Kunci ditangan erat digenggam. Langkah laju dari sepasang kaki yang bersarung ankle strap heel Vincci merah jambu dihala ke kawasan parkir. Tidak langsung dipedulikan sesusuk tubuh tegap yang terus mengekori dirinya sambil memujuk sejak dari pusat pameran tadi. Hati rasa sangat berbahang saat ini. Mengelegak dinding kesabarannya yang cuba dipertahankan sejak tadi. Kau tak faham bahasa ke, haa! Aku taknak dengar apa-apa lagi! Aku tak mahu!..Pergiiiii!


"Laila...tolonglah dengar." Tidak dihiraukan lelaki ini. Dihayun langkah.


Langkah terus diatur. Pantas. Laju. Myvi putih yang sudah kelihatan didepan sana didatangi dengan sederas yang mungkin. Tapi setakat manalah laju yang boleh dijana dengan kebaya dan tumit tinggi yang tersarung ditubuh. Tapi Laila tidak peduli. Kalau perlu disinsing kain dan dibuka kasut ini pun dia sanggup agar dia segera boleh sampai ke keretanya itu. Dia mahu cepat-cepat beredar. Dia mahu cepat-cepat keluar dari kawasan parkir ini. Dia tidak mahu berdua-duaan dengan lelaki yang satu ini. Dia tidak mahu!


Huzair terus mengekori dan menyaingi langkah Laila. Makin dipercepatkan langkah. Tidak ingin diri berjalan seiring dengan lelaki ini. Dipekakkan telinga dari mendengar setiap kata-kata yang terlontar keluar dari bibir itu. Nafas yang turun naik cuba ditenangkan. Yang lebih utama sekarang dia harus cepat-cepat sampai ke kereta. Laila mahu pergi dari sini secepat yang mungkin.


Laila..please. Tolonglah beri saya peluang bercakap. Tolonglah dengar dahulu."



Sudah sudahlah, Huzair. Aku tak ingin dengar walau sepatahpun kata-kata dari kau. Aku tak ingin nak dengar. Kau faham tak!


"Baliklah, Huzair. Jangan ikut saya lagi."


"Tidak, Laila. Selagi awak tak nak dengar apa saya nak cakap, saya akan terus ikut awak."


"Awak ni kenapa? Tak faham bahasa ke, Huzair!" Langkah makin deras. Huzair terus mengejar.


Entah kenapa diri ini diduga lagi. Laila jadi sebak. Laila jadi sedih. Dia tidak pernah mengimpikan pertemuan lagi dengan lelaki ini. TIDAK! Sudah dikuburkan wajah lelaki ini di dalam liang lahat hidupnya. Sudah dinyahkan nama lelaki ini dari muncul didalam kamus dirinya. Hatinya tidak mampu melupakan segala-gala yang pernah dilakukan dan dilontarkan lelaki ini dan juga keluarganya pada seluruh keluarga Laila bertahun-tahun dahulu. Segala bait kata-kata yang menghiris itu masih segar di minda hingga kini. Begitu terhinanya walid dan umi, Laila berlebih-lebih lagi. Sampai hati awak, Huzair! Sampai hati awak...


Benar...Laila tidak menyalahkan Huzair juga keluarganya atas segala yang terjadi antara mereka dahulu namun jauh disudut hati rasa kesal, rasa sedih dan terkilan itu sukar dihapus. Sukar dikikis. Rasa yang semakin kental dan sebati di jiwa. Mengapa begitu buruk sekali tanggapan lelaki yang cukup disayanginya ini suatu masa dahulu terhadap dirinya. Di mana kepercayaan lelaki ini terhadap Laila yang dahulunya diagung-agungkan. Di mana rasa cinta agung mereka dahulu yang terlafaz dan termeterai dihadapan masjid Haiga Sophia. Di mana segala janji-janji kau pada aku dahulu,Huzair. Kau lupa? Memang dasar lelaki pengecut! Lelaki penakut!


Tidak pernah terlintas di fikiran akan dipertemukan semula dengan insan yang pernah merobek seluruh hati dan perasaan perempuannya hampir sepuluh tahun lalu. Insan yang sewenangnya menjatuhkan hukuman paling kejam ke atas dirinya. Hukuman paling terhina buat diri seorang gadis yang tidak pernah sesekali menduakan rasa cinta dan kasihnya pada tunang yang begitu dihormati. Hukuman yang telah mencatat sejarah pilu didalam hidupnya. Kerana hukuman itu Laila tersingkir dari hidup umi dan walid. Umi dan walid malu mempunyai anak sehina Laila. Tidak walid!..Tidak umi! Laila tidak sehina itu. Laila masih waras. Laila takkan sesekali menconteng arang ke muka walid dan umi. Laila takkan melakukan dosa terkutuk itu. Laila masih kenal dosa pahala. Laila masih ada iman. Laila masih kenal sejadah...Laila masih ada kiblat. Aya Sofya tidak bersalah...kami tidak bersalah walid...umi. Mengapa walid dan umi tak percayakan Laila. Mengapa lebih percayalah orang lain dari anak sendiri? Mengapa?..


Laila hela nafas. Jari jemari pantas menahan manik-manik jernih dari menuruni kolam mata. Rasa sebak yang bertamu ditahan sedaya mungkin. Dia mahu kuat kala berhadapan dengan lelaki ini. Lelaki yang pernah menghancurlumatkan hatinya dahulu. Punat di tangan ditekan. Pemegang pintu pemandu dicapai. Namun tanpa diduga tangan Huzair turut sama memegang. Mahu menahan Laila dari memasuki kereta. Laila terjerit. Pantas tubuh tegap itu ditolak kebelakang. Mata mencerlung memandang Huzair yang mengangkat kedua-dua belah tapak tangan separas dada. Isyarat meminta maaf.


"Jangan kurang ajar, Huzair. Awak nak saya menjerit? Awak nak saya panggil security?" Sepasang bebola bundar Laila tajam memanah ke arah lelaki dihadapan. Kedua-dua belah tapak tangan dikepal erat. Kalau diikutkan hatinya yang berbahang amarahnya ini mahu sahaja dilayangkan penampar ke pipi licin Huzair. Atau lebih lagi dihayunkan buku limanya ke wajah tampan ini.



"Saya minta maaf, Laila." Laila memusingkan tubuh. Tidak dihiraukan kata-kata maaf Huzair. Pintu pemandu dibuka. Dilontarkan LV yang tersandang di bahu ke arah tempat duduk penumpang hadapan. Kembali dipusingkan tubuh mengadap lelaki dihadapannya ini. Kedua-dua belah tangan disilang. Dada turun naik menahan getaran rasa yang menghentam dinding hati. Seraut wajah yang dahulu dipuja seluruh jiwa. Seraut wajah yang telah meranapkan segala kepercayaan dan rasa cintanya terhadap janji yang pernah terlafaz. Seraut wajah yang telah memusnahkan impian bahagianya suatu masa dahulu.


"Jangan ganggu hidup saya lagi, Huzair. Cukup-cukuplah apa yang dah awak buat dahulu pada saya."


Huzair dilihat menggeleng. Laila ketap bibir. Dada kencang. Aliran darah memecut deras ke seluruh urat nadi.



"Saya tak boleh lupakan awak, Laila. Saya masih sayang dan cintakan awak. Tolonglah dengar apa saya nak cakap pada awak. Kita keluar ya. Sebentar pun tak mengapa." Huzair terus memujuk. Tidak mahu mengalah. Huzair tahu Laila dihadapannya ini bukanlah Laila bekas tunangannya hampir sepuluh tahu dahulu. Laila dihadapannya ini keras jiwa dan hatinya. Tidak langsung dilihat sisi lembut dan manja yang suatu waktu dahulu menjadi pengikat rasa kasih dan cintanya terhadap gadis ini. Laila dihadapannya ini sudah berubah.Sangat berubah. Dingin. Dan Huzair tahu dirinya antara penyumbang dan penyebab perubahan itu. Laila, maafkan aku...



Laila tersenyum sinis. Ketawa kecil terlontar keluar. Kepala digeleng perlahan.



"Huzair..Huzair. Awak ni memang lidah bercabang kan. Awak kata awak masih tak boleh lupakan perempuan ini ya. Hei, awak lupa ke. Perempuan yang sangat hina dan kotor di depan awak ini. Perempuan bekas tunangan awak yang pernah curang dengan lelaki lain. Perempuan yang awak kata berzina dengan lelaki lain hingga dapat anak luar nikah ni yang awak kata masih sayang dan cinta. Awak ni dah kenapa haa. Dah gila ke? Mana hilangnya akal yang waras tu? Awak kan lelaki hebat. Punya karisma. Awak kan lelaki dari keturunan baik-baik, ternama, terkenal. Awak kan kata pada perempuan hina ini dahulu yang lelaki macam awak hanya layak untuk perempuan yang baik-baik sahaja. Perempuan yang dari keluarga baik-baik. Perempuan yang tahu jaga diri..jaga maruah diri. Bukan perempuan macam yang didepan awak ni. Awak dah lupa ke, Huzair? kalau awak lupa, saya nak kembalikan ingatan awak semula. Saya ni perempuan bekas tunangan awak yang curang. Bekas tunangan awak yang berzina dengan lelaki lain sampai ada anak luar nikah yang disembunyikan demi menutup kesalahan diri namun akhirnya terbongkar juga. Saya ni jijik kan. Jijik sangat-sanagt. Saya ni lebih hina dari anjing! Saya ni perempuan yang pandai berpura-pura berakhlak baik tapi hakikatnya lebih hina dari pelacur. Itu yang awak cakap dahulu kan. Awak dah lupa ke, Huzair?"



Huzair hela nafas. Dia tidak akan membalas segala hamburan kata-kata sinis Laila terhadapnya. Dia sedar semua yang berlaku dahulu memang salahnya. Dia memang khilaf dan jika Laila mahu memaki hamun dirinya juga dia sangggup menadah telinga. Dia rela jika gadis ini mahu memukul dirinya sepuas-puasnya. Dia tidak akan berganjak walau seincipun. Biarlah. Asalkan Laila puas. Asalkan Laila lega. Asalkan Laila mahu memaafkan segala kesalahan dan keterlanjuran kata-katanya dan tuduhannya terhadap Laila.



"Laila..." Wajah ayu bertudung ungu muda yang enggan memandang ke arahnya ini ditatap. Wajah yang berpaling ke arah jalan utama di seberang sana. Huzair tahu Laila masih terluka dengan apa pernah terjadi antara mereka dahulu. Dia sedar kini. Hatinya hanya pada Laila. Dia tahu akhirnya yang Laila sebenarnya tidak bersalah. Laila tidak pernah curang padanya. Laila tidak pernah sesekali menduakan cintanya. Aliyana dan Fakhrul sudah menjelaskan segala-galanya. Huzair malu kerana bersikap terburu-buru. Huzair kesal kerana kejam terhadap Laila. Gadis ini hanya mangsa amarahnya yang melulu. Laila hanya memegang janji dan amanah yang terlafaz antara dirinya dan Aliyana. Dan kerana itu dia nekad mencari Laila. Mencari bekas tunangannya itu. Hatinya tidak pernah tenang sejak tahun-tahun kebelakangan ini. Huzair sedar dia berhutang maaf pada Laila...pada keluarga gadis ini.



"Saya tahu saya bersalah pada awak...pada keluarga awak. Saya berdosa pada awak dan Keluarga. Saya tahu saya kejam pada awak..pada cinta kita. Saya tak sepatutnya tuduh awak begitu sekali. Saya terburu-buru menjatuhkan hukuman pada awak dahulu. Maafkan saya, Laila. Maafkan saya. Saya mohon dengan penuh rendah diri. Tolonglah maafkan saya. Saya mahu kita kembali seperti dahulu, Laila."


Laila hela nafas. Tangan yang bersilang ditubuh diturunkan. Pemegang pintu dicapai. Ditarik perlahan. Wajah memandang Huzair yang masih tunak berdiri dan merenung dirinya.


"Baliklah, Huzair. Jangan ganggu saya dan hidup saya lagi. Kita dah ada haluan hidup masing-masing. Masa sudah merubah segala-galanya. Kita dah berbeza. Saya bukan Laila yang dahulu. Saya dah lupakan segala-gala yang pernah terjadi antara kita dahulu. Awak juga harus lupakan saya. Mulakan hidup baru. Awak dengan hidup awak. Saya dengan hidup saya."


"Laila...please. Saya masih sayangkan awak. Saya masih cintakan awak.. Saya mahu kembalikan cinta kita dahulu. Tolonglah beri saya peluang tebus kesilapan saya dahulu pada awak."


Laila menggeleng kepala.


"Antara awak dan saya dah tak ada apa-apa lagi. Jauh sekali rasa cinta. Cinta saya pada awak dah mati sepuluh tahun dahulu, Huzair. Dah saya kuburkan. Dah bersemadi di liang lahat. Takkan mungkin hidup semula. Cinta saya kini hanya pada kehidupan saya yang baharu. Saya tak mahu kenang lagi segala sejarah pahit itu lagi. Saya harap awak faham. Saya sudah bahagia dengan hidup saya yang baharu. Lepaskanlah saya dari ingatan awak."



"Tak mungkin, Laila. Tak mungkin saya lupakan awak. Saya tak akan mengalah, Laila. Saya akan berusaha untuk menangi hati awak semula dan dapatkan cinta awak semula. Saya akan pastikan itu, Laila. Saya hanya cintakan awak, Laila."



Laila menggelengkan kepala. Diloloskan tubuh ke dalam perut kereta. Disorongkan kunci pada lubangnya. Diputar perlahan. Wajah Huzair yang masih tercegat ditatap.



"Awak dah terlambat, Huzair. Dah terlambat. Saya tak mungkin cintakan awak lagi. Hati dan cinta saya ini kini milik orang lain. Hanya dia yang ada dalam hati saya."



"saya takkan mengalah, Laila. Saya takkan mengalah."



"Awak kena terima hakikat ini, Huzair. Hati saya milik orang lain. Dan saya takkan mungkin menduakan kasihnya dan cintanya pada saya. Saya takkan mungkin curang pada janji yang kami lafazkan."



Pintu ditarik. Huzair mengundurkan tubuhnya. Laila hela nafas dalam-dalam. Diturunkan brek tangan perlahan-lahan. Tangan kiri memegang gear. Ditolak perlahan. Stereng diputar. Myvi laju meluncur meninggalkan kawasan parkir yang kian sepi. Dari jauh, Huzair dilihat masih tidak bergerak. Masih terus memerhatikan Myvi yang dipandunya meninggalkan kawasan parkir. Laila hela nafas dalam dalam. Myvi terus dipecut memasuki jalan utama ke pusat bandar.



Mata Huzair terus memandang Myvi putih Laila meninggalkan kawasan parkir. Dihela nafas dalam dalam.



Aku takkan mengalah, Laila...

6 comments:

sGurL90 said...

Harus guna taktik kotor lepas nih...
Tambah2 lepas tengok orang yang menjadi pesaiang dia nanti...

zawani mukhtar said...

menci.... baru jer bunga2 cinta, dah ada pngacau, thanxs cik writer

Anor said...

semuga Laila tetap setia kepada
Wazif biarpun ape pun yg akan
mendatang dn begitu juga dgn Wazif
jgn cepat mengalah...

The Lady Chosen said...

hmmmm Huzair...Huzair x mengenal erti putus asa..hati Laila sdh ada pada wazif, kisah lama sudah dilupakan.... no turning back! XD

aisy said...

huzair ni patut mintak maaf kt parents laila dlu..dh la laila ni kene buang kluarga..

sue said...

Yessss... terbaiklah Laila.... sekurang-kurangnya Laila berterus terang yang hatinya telah dimiliki....
Laila kena beritahu dengan Wazif... takut lah si Huzair buat x elok pada Laila.... sekurang-kurangnya kurang sikit beban masalah dan x mahu Wazif salah anggap pulak kkkk... terbaikkk..