Blogger Backgrounds

Wednesday, January 18, 2012

Kerana Aya Sofya - Bab 33


Bab 33


Wazif tenang bersandar pada kerusi kayu berbentuk segi empat. Suasana malam yang hening dengan kehadiran pengunjung yang sedikit kurang berbanding malam minggu membuatkan suasana di Buttery begitu damai. Raut wajah Laila yang sedang duduk bertentangan dengannya ditatap. Sejak menjemput gadis ini di rumahnya sebentar tadi Laila diperhatikan banyak mendiamkan diri. Hanya bercakap bila ditanya. Tidak seperti selalu. Ada juga cerita di pejabat yang mahu dikongsi bersama Wazif. Adakalanya Laila bertanyakan pendapat Wazif tentang perkara yang diceritakan. Kemudian mereka akan berkongsi senyum dan ketawa seperti selalu. Indah sekali. Tapi malam ini gadis pujaannya yang sedang duduk berhadapannya sangat berlainan sekali. Perlakuan Laila sedikit sebanyak mengusarkan Wazif. Ada apa yang telah terjadi siang tadi agaknya. Berat benarkah masalah pada perkara yang ingin diberitahu kepadanya ini. Laila..tolonglah jangan buat saya gusar dan cemas begini.


"awak.."


Wazif senyum.


"sebenarnya saya nak minta maaf dahulu sebab rahsiakan perkara ini daripada awak dari mula. Tak ada niat dalam hati untuk tak beritahu awak. Saya minta maaf."


Wazif angguk. Cuba bertenang walau hati sudah berdetik debaran yang mula meniup-niup dinding jiwa.


"Saya sebenarnya tak tahu macam mana nak cerita pada awak tentang perkara ni. Tak tahu macammana nak mula. Saya...saya tak ada niat nak sembunyikan hal ini daripada awak. Saya cuma rasa perkara tu dah lepas dan saya...kalau boleh memang tak mahu ingat lagi semua tu. Perkara yang sangat melukakan hati dan perasaan saya selama bertahun-tahun. Saya telan semuanya...sendiri. Tapi saya rasa tak adil kalau saya tak beritahu awak. Awak perlu tahu segala tentang saya..semuanya. Saya percaya kejujuran dan saling percaya itu penting didalam sesuatu hubungan. Saya mahu awak percaya pada saya sepenuhnya sebagaimana saya percaya sesungguhnya pada awak."


Wajah tenang dihadapaan ditatap. Wazif dilihat menganggukkan kepala. Senyuman yang penuh kedamaian itu terus menabir pandangan. Senyuman yang menyalurkan kekuatan untuk Laila terus berbicara.


"Saya fikir saya kuat. Saya cuba lupakan dan saya rasa saya berjaya lakukan. Tapi saat ingatan tentang perkara ini dah jauh terhakis dari fikiran...saat luka yang terbenam di hati saya semakin pulih, insan yang menyebabkan semua ini muncul semula dihadapan saya. Hari ini dia muncul di hadapan saya. Saya tak tahu nak cakap macammana pada awak perasaan saya saat tengok dia berdiri di hadapan saya. Saya...saya sungguh tak tahu apa nak buat. Saya...saya cuba kuatkan hati saya. Saya...saya cuba gagahkan diri untuk menghadapi dirinya...tapi saya..saya takut saya tak mampu. Saya..saya takut tembok benci yang utuh saya bina dalam diri dan jiwa saya akan retak..akan runtuh jika terus dipasak dengan rayuan yang tidak berhenti. Saya takut, awak. "


Wazif hela nafas perlahan. Ditenangkan perasaan sedaya mungkin. Tidak mahu dikesan oleh Laila. Wazif tahu Laila memerlukan sokongan dan perhatian daripadanya saat ini. Cuba digali jawapan tentang siapa dia yang diperkatakan Laila. Cuba diselongkar data didalam minda tentang dia yang disebut gadis pujaannya ini. Siapa dia yang memunculkan diri dihadapan Laila hari ini?


"Laila.." Sepasang bebola bundar milik Laila terkesima seketika saat panggilan yang cukup perlahan dan lembut itu terlontar keluar dari mulut Wazif. Saling bertatapan. Wazif senyum. Dengan rasa yang sedikit hangat menyerbu ke wajah diukir juga senyum.


"Terima kasih kerana kepercayaan yang saling terjalin antara kita. Kepercayaan yang akhirnya membuka hati awak untuk berkongsi perkara ini dengan saya. Saya terharu atas kejujuran awak. Saya gembira sebab awak percaya pada saya."


Laila tertunduk sedikit. Ada rasa sayu yang menjentik tangkai hati.


"Saya pernah beritahu kan yang kita janji akan kongsi segalanya. Takkan ada rahsia antara kita. Segala masalah awak, akan jadi tanggungjawab saya. Saya tak tahu dan tak akan tahu bebanan yang sedang awak tanggung sekarang ini kalau awak tak cerita. Ceritalah..saya akan dengar. Ceritakan semuanya pada saya. Kita akan sama-sama hadapi perkara ni. Saya takkan biarkan awak sendirian dalam apa juga kesukaran..kesedihan. Saya mahu sentiasa di sisi awak. Menjadi pendengar...menjadi penyokong...menjadi penguat semangat...menjadi pelindung awak...sampai akhir hayat saya. Ceritalah,hmmm."


Laila kemam bibir. Dihela nafas lagi. Kali ini lama. Dihirup dalam dalam sebelum menyambung bicara yang terhenti.


"saya pernah bertunang dengan seseorang." Laila memulakan cerita. Ditatap mata Wazif yang cukup tenang merenungnya. Debaran di dada kian terasa. "Saya dan dia...bekas tunang saya...kami kenal masa sama-sama belajar di kolej persediaan dahulu. Dia senior saya. Dia sukakan saya dan saya pun memang sukakan dia dalam diam. Mungkin karisma yang dia ada sebagai ketua perwakilan pelajar buat dirinya begitu terserlah. Masa tu memang ramai rakan yang meminati Huzair...termasuk saya. Bila dia pilih saya untuk jadi teman istimewa dari ratusan gadis yang meminati dirinya tentu saya rasa bangga. Ya, saya tak nafikan saya memang rasa sangat bangga masa tu. Terasa macam bermimpi. Tapi semuanya itu dah tinggal sejarah." Laila hela nafas dalam-dalam. Seakan terlayar di mata imbasan kenangan silam dirinya dan Huzair. Kenangan yang cukup manis didalam hidupnya suatu masa dahulu.


"Huzair...Tengku Huzair memang istimewa dalam hidup saya suatu masa dahulu. Istimewa hingga saya setuju terima dia menjadi sebahagian dari hidup saya. Waktu itu saya yakin dia lelaki terbaik untuk diri saya. Tapi saya silap menilai dirinya. Dia bukan lelaki budiman yang saya dambakan."


Laila hela nafas perlahan sebelum menyambung bicara.


"Dia lelaki yang saya pernah sayangi ...tapi itu dahulu. Dia dah lama saya kuburkan dari ingatan. Saya tak mahu ada sebarang kaitan lagi dengan dia. Dia adalah sejarah paling pahit dalam hidup saya." Ditekankan perkataan dahulu. Laila mahu Wazif mengerti akan maksudnya. Huzair itu sejarah silam saya. Awak adalah masa depan saya dan saya hanya mahu bersama-sama mengharungi kehidupan ini...hingga titis akhir nafas saya. Hanya awak. Bukan Huzair...bukan juga lelaki lain.


Wazif angguk kepala. Tengku Huzair...hmmm, nice name.

"saya dan dia memang merancang untuk berkahwin selepas saya balik dari luar negara kerana dia terlebih dahulu menamatkan pengajian. Segala persiapan memang sudah diatur oleh kedua-dua pihak. Cuma bila Sofi hadir antara kami segala yang dirancangkan tidak menjadi kenyataan."


Laila raup wajah. Seraut wajah comel yang sentiasa dirindu dan kekal bersemadi di hatinya terlayar di mata. Sofi, umi rindu Sofi sayang. Umi rindu Sofi!


"Awak tahu kisah sebenar siapa Sofi kan. Dan awak juga tahu kan kenapa Sofi diserahkan pada saya oleh Aliya. Demi Tuhan saya tak pernah berzina seperti yang dituduh Huzair. Maruah saya masih terpelihara sebaiknya hingga hari ini. Saya bukan perempuan sehina yang dikatakan Huzair."


Wazif angguk. Perlahan. Simpatainya melaut pada gadis dihadapannya ini. Tidak disangka sehebat ini dugaan yang terpaksa ditempuh Laila demi mempertahankan Sofi. Semuanya kerana Aya Sofya. Ada rasa sesal yang masih tersisa. Sukar dihakis. Mana mungkin akan dilupakan perkara itu. Kerana dusta Aliya dan Fakhrul lah yang menjerumuskan dirinya ke gaung penyesalan. Sesal kerana tega menganiaya seorang insan yang tulus hatinya seperti Laila. Kerana tindakannya, satu jiwa yang tak berdosa menjadi korban. Maafkan uncle, Sofi. Maafkan, uncle!


"Kerana Sofi, saya dihina dan dituduh berzina oleh Huzair. Kerana Sofi, saya diletakkan hingga ke tahap paling rendah oleh lelaki yang pernah berkata telah menempatkan saya di takhta hatinya. Lenyap segala percaya terhadap saya. Kerana Sofi, ikatan yang tersimpul dan bakal termeteri dengan lafaz yang akan menyatukan kami hanya beberapa bulan sahaja lagi diputuskan tanpa sedikit rasa bersalah...jauh sekali simpati. Segala kesalahan dihempaskan ke bahu saya. Keluarga saya diseret sama. Dihina oleh keluarga Huzair. Walid dan umi malu...teramat malu dengan tuduhan Huzair terhadap saya. Saya tak sangka sampai begitu sekali Huzair sanggup tuduh saya. Segala cinta dan kasihnya terhadap saya yang selama ini tidak lekang dibibir lenyap sekelip mata. Semuanya kerana Sofi. Segala penjelasan saya tentang Sofi, Huzair tak mahu terima. Ditolak mentah-mentah. Dihumban jauh ke dasar gaung kebencian. Tergamak dia tuduh saya berzina dan Sofi itu anak luar nikah saya. Kerana Huzair.." Laila kemam bibir. Manik-manik jernih yang mula terbit di kelopak mata pantas diseka dengan hujung jari. Tidak mahu dilihat oleh pengunjung yang ada di Buttery. Dan bagaikan begitu memahami, Wazif menyorongkan sapu tangan ke hujung jari Laila. Disambut Laila. Mata mereka saling bertatapan. Wazif dilihat menganggukkan kepala.


"kerana Huzair...kerana tuduhan Huzair...kerana kata-kata kejam Huzair saya dihalau oleh Walid dan umi. Kerana Huzair...walid dan umi hilang kepercayaan pada saya. Kerana Huzair, saya disingkirkan dari hati walid dan umi. Kerana Huzair...saya hilang segala-galanya. Bertahun-tahun saya hidup sepi tanpa kasih dan sayang walid dan umi. Semuanya kerana Huzair. Saya benci dia!"


Jeda.


Wazif tatap wajah Laila yang tunduk. Dapat dirasakan hebatnya derita jiwa dan batin yang terpaksa ditanggung Laila selama ini. Kasihannya Laila! Dan sekian lama dia berjuang untuk membebaskan jiwa dan batin dari derita itu, kini insan yang menyebabkan semua itu muncul kembali. Kedua-dua tapak tangan digenggam. Dikepal. Erat. Mahu berkongsi segala rasa yang mengapung di jiwa Laila.


"Laila..."


Mata mereka bertemu.


"kepercayaan saya pada kejujuran awak tak akan pernah luntur. Saya kenal diri dan peribadi awak. Cukup kenal. Dan saya tak mahu kehilangan gadis sebaik awak. Awak tak perlu bimbang tentang dia. Selagi saya di sisi awak dan awak percaya dengan seluruh kasih sayang saya pada awak yang tiada sempadan ini, dia takkan mampu gugat perasaan awak terhadap saya walau seinci. Percayalah.Insyaallah. Kita akan sama-sama hadapi perkara ini bersama,hmmm. Yang paling utama sekarang ini kita harus segera jumpa walid dan umi awak. Minta restu mereka.Saya mahu minta izin mereka menjadi penjaga awak seumur hidup saya. Saya mahu jadi lelaki budiman yang awak damba dan cari-cari selama ini. Saya mahu jadi lelaki itu, Laila...lelaki yang bersemayam di takhta jiwa awak."


Laila tertunduk. Ada genangan hangat menitis di lembah kedua-dua pipinya yang mulus.


Terima kasih, Wazif...

5 comments:

aisy said...

bagus laila..terus terang semau kt wazir, jdik x kan ada salah faham akan datang..

sue said...

Wazif buatlah yang terbaik pada Laila.... Laila dah puas menanggis.... jangan bagi Laila menanggis lagi Wazif...
Berjumpa keluarag Laila secepat mungkin.... jangan sampai Huzir ambil kesempatan pada kelemahan Laila....

The Lady Chosen said...

Akhirnya Laila berterus terang dgn Wazif....syukur semuanya ok, harap hubungan mereka mendapat restu agar Wazif dpt melindungi Laila drp Tengku Huzair ^_^

aqilah said...

mantap!!!!!!!!!!!!!!!!!!
apapun, follow!!!!!!!!!!!!!!

Anor said...

Eloklah Laila berterus terang pd
Wazif semuga dimasa akan dtg tak
ada fitnah yg boleh mengganggu gugat
cinta mereka berdua. Cepatlah Wazif
pinang si Laila dn kawen secepat
mungkin supaya Huzair tak dpt
ganggu Laila lagi...