Blogger Backgrounds

Sunday, January 29, 2012

Kerana Aya Sofya - Bab 35




Bab 35



Ketukan di pintu yang sayup mencecah cuping membuatkan lena yang baru sahaja berlabuh kembali menegakkan layarnya. Ditekan butang lampu di meja sisi di tepi katil. Laila agak itu pastinya umi Wazif. Mungkin mahu memastikan keselesaan Laila yang terpaksa bermalam di mahligainya malam ini. Sejak dia sampai tadi wanita separuh abad itu begitu prihatin. Bertanya itu ini demi memastikan diri dan emosi Laila dalam keadaan baik. Mahu memastikan perasaan Laila tidak terganggu oleh kehadiran Huzair di luar rumahnya petang tadi. Mungkin sudah dimaklumkan Wazif tentang apa yang berlaku pada diri Laila.

Sewaktu dia beredar dari rumah dijemput dengan menaiki Lexus putih yang dipandu walid Wazif dengan ditemani umi Wazif tadi, jelas dimata ketika Lexus melintasi pagar Huzair tunak memerhatikan Laila dari dalam BMW hitamnya. Sangka Laila hanya dia yang melihat rupanya umi Wazif turut sama menyaksikannya. Wajah Laila lama direnung. Pandangan wanita itu jelas mengandungi simpati. Laila pasti biarpun tiada sepatah kata yang keluar dari bibir wanita itu. Laila tahu umi Wazif pasti sudah tahu kisah dirinya dan Huzair. Wazif tentu sudah menceritakan segala-galanya dan memang itu yang Laila pinta. mahu umi dan walid lelaki yang dikasihinya itu tahu kisah dirinya. Laila tidak mahu menyembunyikan status dirinya dari keluarga Wazif. Kisah pilu masa silam yang terlalu pahit untuk dibuka kembali lembarannya.

Dan mungkin juga kerana sudah mengetahui kisah itu, diri dilayan bagaikan anak sendiri. Ditenangkan dengan kata-kata semangat dan pujukan yang mendamaikan jiwa. Wanita ini begitu mengambil berat. Seolah-olah dapat merasakan apa yang ditanggung Laila selama ini. Rasa terharu menggunung dengan sikap keibuan wanita ini. Betapa bertuahnya Wazif dikurniakan umi sebaik dan semurni puan Zahra. Seorang umi yang amat memahami dan kaya dengan perasaan kasih sayang.

Tubuh yang disaluti pijama bertanah putih dan berbunga merah samar corak bunga tabur halus dibawa melangkah turun dari badan katil. Rambut panjang yang terurai beralun mengikut rentak kaki. Dihayun langkah perlahan ke muka pintu. Ditekan punat pada tombol pintu seraya diputar tombol pintu berkenaan. Tangan menarik tombol perlahan-lahan ke dalam.

Mata Laila tidak berkelip. Tergamam seketika. Ditelan air liur. Tidak disangka orang lain yang dikhayalkan, orang lain pula yang muncul didepan mata. Mata Wazif yang tersenyum membuatkan jantung terasa melompat lincah dari dalam . Debaran di dada mula membuka langkah gerak tarinya. Bibir itu terus tersenyum lebar. Laila tahu senyuman itu untuk apa. Pantas ditolak pintu. Laila tahu Wazif pasti terkejut dengan tindakan drastiknya. Dia tiada pilihan. Dia terpaksa. Langkah laju dihala ke arah penyidai kayu di sebelah katil. Tangan secepat kilat menyambar tudung tiga segi berwarna hitam yang terhampar. Dibalut ke kepala. Dikemaskan hujung tudung sambil kaki memecut ke arah pintu. Dilafaz bismillah. Tangan mengurut dada. Dihela nafas dalam-dalam sebelum dihembus keluar. Tangan mencapai tombol pintu.

Wazif senyum. Mata dan bibirnya. Serentak. Kali ini lebih lebar. Tersuring barisan mutiaranya yang putih. Laila gigit bibir.

"Erk...sorry..saya ambik.." Jari telunjuk dihala ke kepala.

Wazif angguk kepala. Senyumnya masih belum sirna. Indah tersuring di bibir yang mekar tanpa calitan warna. Laila gigit bibir lagi. Pipi terasa hangat. Sepasang mata Wazif masih terus memandang. Kaki bagai dipasung didepan pintu. Enggan bergerak saat matanya bertaut dengan mata Wazif yang bersinar. Seperti sedang dipukau. Langsung tidak terlintas di kepala untuk bertanya dahulu siapa gerangan yang mengetuk pintu sebelum dia membukanya sebentar tadi. Aduhai...

"Assalamualaikum..."

Air liur terasa seperti tergantung di kerongkong. Pipi yang tadinya terasa hangat terus memercikkan bahang segan yang kian melebar. Wajahnya yang terus-terusan dipandang dan direnung membuatkan Laila rasa seperti mahu melompat sahaja ke bawah katil dan membungkus dirinya dari pandangan mata Wazif. Malunya!

"W...wa...waalaikumsalam...."

"Maaf kalau ganggu lena, awak. Saya cuma nak pastikan awak ok."

Laila angguk. Tersenyum. " Alhamdulillah, saya sangat ok. Umi dan walid awak jaga dan layan saya dengan baik sekali sejak jemput saya dari rumah petang tadi. Awak ok?"

Wazif angguk kepala sambil turut sama mengucapkan lafaz syukur pada yang Esa.



"Umi dah beritahu saya tadi awak ok masa saya call dari airport sebaik sahaja sampai di Subang. Saya memang nak call awak tadi tapi umi tak beri saya call awak. Umi tidak mahu saya mengganggu awak. Mahu biar awak berehat. Tapi selagi saya tak lihat sendiri dengan mata saya, saya tak akan puas hati. Saya mahu pastikan awak betul-betul selamat di sini. Melihat awak ada didepan mata saya, hati saya rasa lapang. Melihat wajah tenang awak, jiwa saya rasa aman. Syukur awak sudah selamat di sini."



Laila tidak tahu mahu berkata apa. Hatinya menangis irama terharu. Setiap bait yang diucapkan Wazif buat diri rasa sebak yang teramat sangat. Betapa lelaki ini terlalu mengambilberat akan keselamatan dirinya. Lihat sahaja sekarang ini. Sesampai sahaja dirinya di banglonya ini terus mencari Laila. Mahu bertanyakan keadaan dirinya. Mahu memastikan Laila benar-benar selamat. Mahu memuaskan hati dengan melihat sendiri keadaan diri Laila biarpun sudah dimaklumkan oleh uminya akan keadaan Laila. Betapa besarnya perhatian dan kasih sayang lelaki ini terhadap dirinya. Diri dilimpahi rasa cinta yang begitu menyentuh jiwa. Wajah lelaki yang tenang berdiri dihadapannya ini dipandang.



"Wazif..."



Wazif tatap wajah ayu Laila.



"Terima kasih. Terima kasih kerana terlalu ambil berat tentang diri saya. Terima kasih kerana selalu mengutamakan diri saya hingga awak sanggup mengenepikan kepentingan diri awak. Maaf kerana saya banyak mencuri masa utama diri awak. Banyak membuatkan awak harus menolak banyak perkara utama dalam diri awak. Semuanya kerana saya. Saya banyak menyusahkan awak, Wazif dengan masalah diri saya. Saya segan dengan awak. Segan dengan umi dan walid awak. Tapi...saya tak tahu nak buat apa kalau awak tak ada. Setiap kali saya ada masalah, hanya awak yang saya kejar. Hanya awak yang saya cari. Maaf kerana saya sering sahaja menimbulkan huru-hara dalam hati awak. Buat awak gusar..buat awak bimbang...buat awak susah hati...buat awak kelam kabut. Saya ni memang teruk kan."



Wazif tenang. Wajah rusuh Laila ditatap.



"Laila..."



Mata Laila singgah di mata Wazif. Senyuman manis di bibir Wazif ditelan dengan debaran yang mula berdendang di pentas jantung.



"Awak sayang saya, Laila?"



Laila kemam bibir. Kepala mengangguk.



"Awak cintakan saya, Laila?"



Laila menundukkan wajah sedikit. Seketika. Diangkat wajah kembali. Perlahan-lahan. Mata memandang ke arah seraut wajah dihadapan. Kepala mengangguk.



Mata mereka terus saling merenung.



"Saya juga sangat sayang dan cintakan awak. Dengan seluruh jiwa raga saya. Tiada sempadan yang mampu membataskan perasaan saya ini terhadap awak. Demi Tuhan hanya Dia sahaja yang tahu betapa pentingnya awak dalam hidup saya."



Khali sejenak.



"Apa erti sayang dan cinta saya yang tiada sempadan ni pada awak yang telah melafazkan pengakuan sayang dan cinta pada saya kalau saya tiada disisi awak setiap kali awak perlukan saya. Saya tak akan maafkan diri saya kalau apa-apa berlaku pada awak. Saya takkan gadaikan keutamaan diri awak dengan apa juga perkara biar setinggi manapun nilainya...kerana keutamaan dan keselamatan diri awak tiada ternilai bagi saya. You are my priority, Laila. Always."



Laila jeda. Hanya mata yang masih tersangkut di wajah Wazif yang tunak dihadapan.



"Ehemmm..."



Laila tersentak. Kepala menjenguk dari luar pintu. Mencari arah suara. Kaki melangkah berdiri disebelah Wazif yang dilihat menoleh ke tangga. Senyuman di bibir itu dilihat mekar. Dua susuk tubuh yang sedang berdiri dan saling bergandingan di hujung tangga di tatap. Saling bertukar senyum dengan Wazif. Laila gigit bibir. Pipi membahang. Hangat. Panas. Pasti segala apa yang terlafaz antara mereka berdua sebentar tadi didengar semuanya oleh umi dan walid Wazif. Laila tidak tahu mana mahu disembunyikan wajah.



Umi dan walid yang menghampiri dia dan Wazif dipandang. Tidak terkeluar kalam yang berada di minda. Rasa malu yang masih belum sirna terus mengepung diri. Hanya mata yang mampu dikelipkan tanda hormat yang tidak bertepi buat wanita yang sedang menatapnya saat ini.



"I'm touched, dear. Both of them are so romantic. Walid pun tak hebat ucap kata-kata romantis ni pada umi. I guess you need to learn from your son, dear. I pun nak dengar you cakap macam yang i dengar tadi."



"Umi..." Suara Wazif terlontar perlahan. Laila kemam bibir. Percikan bahang hangat makin merebak ke seluruh wajah.Umi dan walid Wazif dilihat ketawa serentak. Wazif hanya mampu tersenyum kecil sambil menggelengkan kepala. Laila dan Wazif saling memandang. Mata mereka tersenyum.



* * * * * * *



Pintu tempat duduk belakang Harrier dibuka. Dilontarkan Polo empat segi kecil yang kerusi tempat duduk belakang. Samsonite yang diseret tadi diangkat lalu diletakkan disebelah. Ditutup kembali pintu. Langkah dibawa menghampiri umi, walid dan Laila dihadapan halaman. Cermin mata yang melorot sedikit di pangkal hidunh ditolak ketas dengan hujung jari telunjuk. Mata menerjah adegan umi dan buah hatinya. Bibir menguntum senyum. Senang melihat kedua-dua wanita istimewa didalam hidupnya itu.



Laila genggam tangan umi Wazif yang erat terjalin digenggamannya sejak tadi. Dapat dirasakan kasih sayang wanita istimewa ini terhadap diri. Kasih sayang yang ruah melimpahi tebing hidup. Akan diusung rasa ini buat bekalan perjalanannya hari ini. Perjalanan menemui seorang lagi wanita yang istimewa dalam hidupnya. Dan wanita ini terlalu istimewa dan akan sentiasa di dalam jiwa dan hatinya hingga ujung nyawa. Tiada galang gantinya.



Umi, Laila balik...



Laila balik, umi...



Laila balik...



"Wazif..." Suara umi Wazif menerbangkan kenangan Laila. Dihela nafas. Mahu dilontar rasa sedih. Dia tidak mahu rasa itu hadir. Dia mahu perjalanannya hari ini diiringi aliran rasa gembira yang berpanjangan hingga ke destinasinya.



"saya,umi.." Puan Zahra tatap wajah Wazif dan Laila serentak. Tangan Laila yang didalam genggaman ditepuk perlahan.



"bawak kereta baik-baik. Jaga bakal menantu umi ni elok-elok. Ingat awak tu bawak anak dara orang, Zahwan Wazif." Puan Zahra lontar pandangan pada suaminya disebelah Wazif. Isyarat.



"hati-hati pandu, Zif. Jaga anak orang baik-baik. Ingat pesan walid. Walid dan umi doakan perjalanan kamu selamat. Call walid dan umi bila sampai nanti,hmmm. " Bahu Wazif ditepuk perlahan oleh encik Hanafiah sambil tersenyum. Laila yang melihat adegan ketiga-tiga beranak ini tunduk sedikit sebelum kembali melontar pandangan pada Wazif dihadapan. Saling berbalas renungan. Saling tersenyum.

Wednesday, January 25, 2012

Kerana Aya Sofya - Bab 34


Bab 34


Mata terlontar di luar tingkap. Gelap. Hanya hamparan langit pekat yang terhidang. Nafas dihela perlahan. Penumpang disebelah dilihat sedang lena. Mata dihalakan ke pergelangan tangan. Dalam tempoh setengah jam lagi pesawat dinaiki akan mendarat di Subang. Wajah manis Laila silih berganti di mata. Hati ingin segera sampai. Mahu segera mendapatkan gaids pujaannya. Mahu memenangkan gadis pujaannya itu yang sekarang ini sedang dilanda ketakutan dan kerisauan yang menakutkan. Semuanya kerana lelaki itu.


Huzair..


Tengku Huzair...


Nama itu acapkali bermain di kepala sejak kelmarin. Sejak nama itu disebut Laila buat pertama kali. Sejak dia tahu kaitan nama itu dengan Laila. Dan nama itu terus meniti di setiap ruang jiwa dan menyelusuri tiap lorong hati. Membelah laluan ketenangan dirinya sehari dua ini. Menggugat kedamaian yang baru berputik. Entah kenapa hatinya merasakan ada kelainan saat nama itu diucapkan. Dia sendiri tidak pasti mengapa. Cemburukah dia dengan kemunculan lelaki yang berstatus bekas tunangan gadis pujaannya? Atau gusarkah dia dengan kemunculan secara tiba-tiba bekas tunangan buah hatinya itu. Kehadiran yang sedikit sebanyak mengoncang keharmonian hidupnya. Kehadiran yang diketahui dengan satu tujuan. Mendapatkan semula cinta Laila. Dan tiba-tiba dirasakan mereka berdua sedang saling bersaing...bersaing untuk memenangi hati Laila. Dia tidak pasti apa yang sedang berada di dalam hati Laila saat ini. Kehadiran bekas tunangan yang tidak disangka-sangka pasti sedikit sebanyak mengembalikan kenangan silam.


Dia tidak mahu mencurigai Laila. Tidak akan sesekali melakukannya. Dia tahu hati gadis itu sedang gundah gulana. Dan dia sewajarnya tidak menambah rasa itu dijiwa Laila. Dia tahu jiwa Laila sedang gusar yang bukan kepalang. Maka sewarasnya tidak dikucar-kacirkan lagi jiwa halus gadis pujaannya itu. Laila benar-benar cemas...benar-benar takut. Panggilan gadis itu petang tadi membuktikannya. Ternyata Laila begitu gementar dengan kemunculan Huzair. Mengenali Huzair dalam tempoh yang cukup lama menyebabkan Laila tahu sikap bekas tunangannya itu. Kata Laila Huzair itu pantang mengalah. Dan petang tadi adalah kemuncaknya bila lelaki itu berjaya mengekori Laila hingga ke rumah. Wazif tahu lelaki itu benar-benar mahu mengotakan kata-katanya pada Laila. Mahu mendapatkan cinta Laila semula.


"Saya tahu dia takkan mengalah, awak. Dia berjaya ikut saya sampai ke rumah petang tadi. Saya tak perasan langsung dari mana dia muncul. Tahu-tahu kereta dia dah ada dibelakang kereta saya. Saya terkejut sangat-sangat tadi. Saya terus lari masuk dalam rumah, awak. Dia ada lagi diluar pagar tu. Saya risaulah, awak. Ain outstation ke JB pulak. Anum balik kampung, mak dia tak sihat. Saya takut kalau kalau dia cuba buat apa-apa. Wazif, tolonglah beritahu apa perlu saya buat sekarang ni. Saya..saya takut awak. Dia tu susah nak diduga tindakannya. Awak tak ada kat sini buat saya tambah takut. Huzair tu dah gila, awak." Suara cemas Laila buat jantung Wazif berdebar kencang.


"Dia ada cuba buat apa-apa?"


"Tak ada. Dia masih dalam kereta."


Wazif melafazkan syukur. Bimbang akan keselamatan Laila.


"Laila, dengar sini ok..."


Jeda.


"Saya akan balik malam ni juga. Saya akan tunda mesyuarat saya disini. Saya akan minta walid dan umi saya datang ambil awak dan bawa ke rumah. Awak tunggu sampai walid dan umi saya datang."


"Tapi awak...saya taknak susahkan umi dan walid awak. Biar saya tunggu di rumah saya ni sampai awak balik malam nanti ye. Saya..saya akan duduk sahaja dalam rumah ni. Saya tak akan keluar ke mana-mana. Saya janji. Saya tunggu sampai awak datang." Wazif menggeleng.


"Bahaya, Laila. Awak sorang-sorang di rumah. Awak lebih kenal dia kan. Dan awak pun sangat kenal saya bukan. Saya tak akan biarkan awak dalam keadaan macam sekarang ni. Awak keutamaan saya, Laila. Awak ingat kan janji saya. Dengar cakap saya ok. Apa yang saya buat ni semua demi kebaikkan awak. Saya hanya fikirkan keselamatan awak. Itu yang paling utama. Saya tak mahu apa-apa berlaku pada awak. Saya takkan maafkan diri saya kalau apa-apa terjadi pada awak. Awak fahamkan perasaan saya. Awak tahu kan betapa sayangnya saya pada awak. Jangan buat saya bimbang, Laila. Ikut cakap saya,hmmm. Saya akan hubungi umi dan walid sekarang. Awak ikut diaorang balik ya. Saya jumpa awak di rumah nanti."


Khali seketika. Wazif kerut dahi. Debaran di hati menguasai diri.


"Laila..."


Jeda.


"Laila.?"


Sayup-sayup tertangkap di cuping tangisan halus. Wazif cemas. Ada apa yang telah berlaku di sana?


"Laila....Laila, awak ok?"


Tangisan makin bergema. Wazif mundar mandir di dalam ruang Deluxe Marina Bay yang luas. Laila, tolonglah cakap sesuatu. Tolonglah jangan buat saya bimbang.


"Wazif.."


Wazif hela nafas.


"Laila...awak ...awak tak apa-apa?"


"Saya ok. Awak jangan bimbang." Wazif angguk kepala.


"Wazif.."


"Hmmm.."


"Terima kasih."


"Terima kasih? Untuk apa,hmmm.."


"Kerana bimbangkan saya. Kerana fikirkan keselamatan saya. Kerana utamakan saya lebih dari diri awak sendiri. Terima kasih kerana buat diri saya begitu istimewa di hati awak...melebihi segala-galanya. Terima kasih atas kasih sayang awak yang tiada sempadan buat saya. Saya..saya tak tahu macammana nak balas kebaikkan awak, Wazif. Terima kasih banyak-banyak."


Khali sejenak.


"Laila..."


"I..iy..iya..." Bibir dikemam.


"Kesudian awak terima saya...kesanggupan awak maafkan segala kekhilafan lampau saya...kemurniaan hati awak sambut kasih saya..ketulusan jiwa awak terima cinta saya sudah memadai. Saya tak perlukan yang lain. Hanya yang pinta agar awak percayakan kasih sayang dan cinta saya pada awak. Percaya dengan sepenuh hati awak, Laila. Saya terlalu sayangkan awak Laila. Terlalu mencintai awak."


Jeda.


"Laila..."


"Wazif..."


"Kita balik jumpa umi dan walid awak esok,hmmm. Saya mahu kita disatukan secepatnya. Saya akan minta izin dan restu dari walid dan umi awak. Saya takkan biarkan Huzair ganggu hidup awak lagi. Saya takkan biarkan." Terdengar tangisan halus. Wazif tahu perasaan Laila. Akan dilakukan apa sahaja demi melindungi Laila dari lelaki itu.


"Wazif..."


"Hmmm..."


"Saya tunggu awak balik. Balik cepat,hmmm."


Ada senyuman yang mekar dibibir.


Saya dalam perjalanana balik, Laila.


Tunggu saya, Laila..


Tunggu saya...

Wednesday, January 18, 2012

Kerana Aya Sofya - Bab 33


Bab 33


Wazif tenang bersandar pada kerusi kayu berbentuk segi empat. Suasana malam yang hening dengan kehadiran pengunjung yang sedikit kurang berbanding malam minggu membuatkan suasana di Buttery begitu damai. Raut wajah Laila yang sedang duduk bertentangan dengannya ditatap. Sejak menjemput gadis ini di rumahnya sebentar tadi Laila diperhatikan banyak mendiamkan diri. Hanya bercakap bila ditanya. Tidak seperti selalu. Ada juga cerita di pejabat yang mahu dikongsi bersama Wazif. Adakalanya Laila bertanyakan pendapat Wazif tentang perkara yang diceritakan. Kemudian mereka akan berkongsi senyum dan ketawa seperti selalu. Indah sekali. Tapi malam ini gadis pujaannya yang sedang duduk berhadapannya sangat berlainan sekali. Perlakuan Laila sedikit sebanyak mengusarkan Wazif. Ada apa yang telah terjadi siang tadi agaknya. Berat benarkah masalah pada perkara yang ingin diberitahu kepadanya ini. Laila..tolonglah jangan buat saya gusar dan cemas begini.


"awak.."


Wazif senyum.


"sebenarnya saya nak minta maaf dahulu sebab rahsiakan perkara ini daripada awak dari mula. Tak ada niat dalam hati untuk tak beritahu awak. Saya minta maaf."


Wazif angguk. Cuba bertenang walau hati sudah berdetik debaran yang mula meniup-niup dinding jiwa.


"Saya sebenarnya tak tahu macam mana nak cerita pada awak tentang perkara ni. Tak tahu macammana nak mula. Saya...saya tak ada niat nak sembunyikan hal ini daripada awak. Saya cuma rasa perkara tu dah lepas dan saya...kalau boleh memang tak mahu ingat lagi semua tu. Perkara yang sangat melukakan hati dan perasaan saya selama bertahun-tahun. Saya telan semuanya...sendiri. Tapi saya rasa tak adil kalau saya tak beritahu awak. Awak perlu tahu segala tentang saya..semuanya. Saya percaya kejujuran dan saling percaya itu penting didalam sesuatu hubungan. Saya mahu awak percaya pada saya sepenuhnya sebagaimana saya percaya sesungguhnya pada awak."


Wajah tenang dihadapaan ditatap. Wazif dilihat menganggukkan kepala. Senyuman yang penuh kedamaian itu terus menabir pandangan. Senyuman yang menyalurkan kekuatan untuk Laila terus berbicara.


"Saya fikir saya kuat. Saya cuba lupakan dan saya rasa saya berjaya lakukan. Tapi saat ingatan tentang perkara ini dah jauh terhakis dari fikiran...saat luka yang terbenam di hati saya semakin pulih, insan yang menyebabkan semua ini muncul semula dihadapan saya. Hari ini dia muncul di hadapan saya. Saya tak tahu nak cakap macammana pada awak perasaan saya saat tengok dia berdiri di hadapan saya. Saya...saya sungguh tak tahu apa nak buat. Saya...saya cuba kuatkan hati saya. Saya...saya cuba gagahkan diri untuk menghadapi dirinya...tapi saya..saya takut saya tak mampu. Saya..saya takut tembok benci yang utuh saya bina dalam diri dan jiwa saya akan retak..akan runtuh jika terus dipasak dengan rayuan yang tidak berhenti. Saya takut, awak. "


Wazif hela nafas perlahan. Ditenangkan perasaan sedaya mungkin. Tidak mahu dikesan oleh Laila. Wazif tahu Laila memerlukan sokongan dan perhatian daripadanya saat ini. Cuba digali jawapan tentang siapa dia yang diperkatakan Laila. Cuba diselongkar data didalam minda tentang dia yang disebut gadis pujaannya ini. Siapa dia yang memunculkan diri dihadapan Laila hari ini?


"Laila.." Sepasang bebola bundar milik Laila terkesima seketika saat panggilan yang cukup perlahan dan lembut itu terlontar keluar dari mulut Wazif. Saling bertatapan. Wazif senyum. Dengan rasa yang sedikit hangat menyerbu ke wajah diukir juga senyum.


"Terima kasih kerana kepercayaan yang saling terjalin antara kita. Kepercayaan yang akhirnya membuka hati awak untuk berkongsi perkara ini dengan saya. Saya terharu atas kejujuran awak. Saya gembira sebab awak percaya pada saya."


Laila tertunduk sedikit. Ada rasa sayu yang menjentik tangkai hati.


"Saya pernah beritahu kan yang kita janji akan kongsi segalanya. Takkan ada rahsia antara kita. Segala masalah awak, akan jadi tanggungjawab saya. Saya tak tahu dan tak akan tahu bebanan yang sedang awak tanggung sekarang ini kalau awak tak cerita. Ceritalah..saya akan dengar. Ceritakan semuanya pada saya. Kita akan sama-sama hadapi perkara ni. Saya takkan biarkan awak sendirian dalam apa juga kesukaran..kesedihan. Saya mahu sentiasa di sisi awak. Menjadi pendengar...menjadi penyokong...menjadi penguat semangat...menjadi pelindung awak...sampai akhir hayat saya. Ceritalah,hmmm."


Laila kemam bibir. Dihela nafas lagi. Kali ini lama. Dihirup dalam dalam sebelum menyambung bicara yang terhenti.


"saya pernah bertunang dengan seseorang." Laila memulakan cerita. Ditatap mata Wazif yang cukup tenang merenungnya. Debaran di dada kian terasa. "Saya dan dia...bekas tunang saya...kami kenal masa sama-sama belajar di kolej persediaan dahulu. Dia senior saya. Dia sukakan saya dan saya pun memang sukakan dia dalam diam. Mungkin karisma yang dia ada sebagai ketua perwakilan pelajar buat dirinya begitu terserlah. Masa tu memang ramai rakan yang meminati Huzair...termasuk saya. Bila dia pilih saya untuk jadi teman istimewa dari ratusan gadis yang meminati dirinya tentu saya rasa bangga. Ya, saya tak nafikan saya memang rasa sangat bangga masa tu. Terasa macam bermimpi. Tapi semuanya itu dah tinggal sejarah." Laila hela nafas dalam-dalam. Seakan terlayar di mata imbasan kenangan silam dirinya dan Huzair. Kenangan yang cukup manis didalam hidupnya suatu masa dahulu.


"Huzair...Tengku Huzair memang istimewa dalam hidup saya suatu masa dahulu. Istimewa hingga saya setuju terima dia menjadi sebahagian dari hidup saya. Waktu itu saya yakin dia lelaki terbaik untuk diri saya. Tapi saya silap menilai dirinya. Dia bukan lelaki budiman yang saya dambakan."


Laila hela nafas perlahan sebelum menyambung bicara.


"Dia lelaki yang saya pernah sayangi ...tapi itu dahulu. Dia dah lama saya kuburkan dari ingatan. Saya tak mahu ada sebarang kaitan lagi dengan dia. Dia adalah sejarah paling pahit dalam hidup saya." Ditekankan perkataan dahulu. Laila mahu Wazif mengerti akan maksudnya. Huzair itu sejarah silam saya. Awak adalah masa depan saya dan saya hanya mahu bersama-sama mengharungi kehidupan ini...hingga titis akhir nafas saya. Hanya awak. Bukan Huzair...bukan juga lelaki lain.


Wazif angguk kepala. Tengku Huzair...hmmm, nice name.

"saya dan dia memang merancang untuk berkahwin selepas saya balik dari luar negara kerana dia terlebih dahulu menamatkan pengajian. Segala persiapan memang sudah diatur oleh kedua-dua pihak. Cuma bila Sofi hadir antara kami segala yang dirancangkan tidak menjadi kenyataan."


Laila raup wajah. Seraut wajah comel yang sentiasa dirindu dan kekal bersemadi di hatinya terlayar di mata. Sofi, umi rindu Sofi sayang. Umi rindu Sofi!


"Awak tahu kisah sebenar siapa Sofi kan. Dan awak juga tahu kan kenapa Sofi diserahkan pada saya oleh Aliya. Demi Tuhan saya tak pernah berzina seperti yang dituduh Huzair. Maruah saya masih terpelihara sebaiknya hingga hari ini. Saya bukan perempuan sehina yang dikatakan Huzair."


Wazif angguk. Perlahan. Simpatainya melaut pada gadis dihadapannya ini. Tidak disangka sehebat ini dugaan yang terpaksa ditempuh Laila demi mempertahankan Sofi. Semuanya kerana Aya Sofya. Ada rasa sesal yang masih tersisa. Sukar dihakis. Mana mungkin akan dilupakan perkara itu. Kerana dusta Aliya dan Fakhrul lah yang menjerumuskan dirinya ke gaung penyesalan. Sesal kerana tega menganiaya seorang insan yang tulus hatinya seperti Laila. Kerana tindakannya, satu jiwa yang tak berdosa menjadi korban. Maafkan uncle, Sofi. Maafkan, uncle!


"Kerana Sofi, saya dihina dan dituduh berzina oleh Huzair. Kerana Sofi, saya diletakkan hingga ke tahap paling rendah oleh lelaki yang pernah berkata telah menempatkan saya di takhta hatinya. Lenyap segala percaya terhadap saya. Kerana Sofi, ikatan yang tersimpul dan bakal termeteri dengan lafaz yang akan menyatukan kami hanya beberapa bulan sahaja lagi diputuskan tanpa sedikit rasa bersalah...jauh sekali simpati. Segala kesalahan dihempaskan ke bahu saya. Keluarga saya diseret sama. Dihina oleh keluarga Huzair. Walid dan umi malu...teramat malu dengan tuduhan Huzair terhadap saya. Saya tak sangka sampai begitu sekali Huzair sanggup tuduh saya. Segala cinta dan kasihnya terhadap saya yang selama ini tidak lekang dibibir lenyap sekelip mata. Semuanya kerana Sofi. Segala penjelasan saya tentang Sofi, Huzair tak mahu terima. Ditolak mentah-mentah. Dihumban jauh ke dasar gaung kebencian. Tergamak dia tuduh saya berzina dan Sofi itu anak luar nikah saya. Kerana Huzair.." Laila kemam bibir. Manik-manik jernih yang mula terbit di kelopak mata pantas diseka dengan hujung jari. Tidak mahu dilihat oleh pengunjung yang ada di Buttery. Dan bagaikan begitu memahami, Wazif menyorongkan sapu tangan ke hujung jari Laila. Disambut Laila. Mata mereka saling bertatapan. Wazif dilihat menganggukkan kepala.


"kerana Huzair...kerana tuduhan Huzair...kerana kata-kata kejam Huzair saya dihalau oleh Walid dan umi. Kerana Huzair...walid dan umi hilang kepercayaan pada saya. Kerana Huzair, saya disingkirkan dari hati walid dan umi. Kerana Huzair...saya hilang segala-galanya. Bertahun-tahun saya hidup sepi tanpa kasih dan sayang walid dan umi. Semuanya kerana Huzair. Saya benci dia!"


Jeda.


Wazif tatap wajah Laila yang tunduk. Dapat dirasakan hebatnya derita jiwa dan batin yang terpaksa ditanggung Laila selama ini. Kasihannya Laila! Dan sekian lama dia berjuang untuk membebaskan jiwa dan batin dari derita itu, kini insan yang menyebabkan semua itu muncul kembali. Kedua-dua tapak tangan digenggam. Dikepal. Erat. Mahu berkongsi segala rasa yang mengapung di jiwa Laila.


"Laila..."


Mata mereka bertemu.


"kepercayaan saya pada kejujuran awak tak akan pernah luntur. Saya kenal diri dan peribadi awak. Cukup kenal. Dan saya tak mahu kehilangan gadis sebaik awak. Awak tak perlu bimbang tentang dia. Selagi saya di sisi awak dan awak percaya dengan seluruh kasih sayang saya pada awak yang tiada sempadan ini, dia takkan mampu gugat perasaan awak terhadap saya walau seinci. Percayalah.Insyaallah. Kita akan sama-sama hadapi perkara ini bersama,hmmm. Yang paling utama sekarang ini kita harus segera jumpa walid dan umi awak. Minta restu mereka.Saya mahu minta izin mereka menjadi penjaga awak seumur hidup saya. Saya mahu jadi lelaki budiman yang awak damba dan cari-cari selama ini. Saya mahu jadi lelaki itu, Laila...lelaki yang bersemayam di takhta jiwa awak."


Laila tertunduk. Ada genangan hangat menitis di lembah kedua-dua pipinya yang mulus.


Terima kasih, Wazif...

Tuesday, January 17, 2012

Kerana Aya Sofya - Bab 32


Bab 32


"Bila???" Mata Ain terbuntang. Terperanjat. Laila ketap bibir. Kuat. Tapak tangan kejap melekap di kedua-dua belah pipi.


"Pagi tadi dekat showroom. Then petang masa aku nak balik dia tunggu dan ikut aku sampai kat parkir. Ikut sampai kat kereta aku. Aku cakap macammana pun dia tak endah. Dia memang gila, Ain. Memang Gila!" Ain mundar mandir dihadapan Laila. Benar-benar terkejut. Gelisah. Tadinya sewaktu Laila balik dalam keadaan tergesa-gesa meluru masuk kedalam rumah tanpa langsung menyambut salamnya seperti biasa Ain sudah tahu pasti ada sesuatu yang berlaku. Ada yang tidak kena. Ada yang tidak beres. Dalam fikirannya saat itu hanya satu kemungkinan. Laila dan Wazif berselisih. Ain tahu Laila ada masa-masanya memang cengeng..senang saat cembeng. Mudah sahaja merajuk dan mengalirkan airmata. Wazif pulak memang kaki mengusik. Lantas pantas sahaja dibuka langkah panjang mengekori Laila hingga ke dalam bilik. Niat asalnya mahu memujuk jika benar telahan awalnya tadi. Ternyata tersasar jauh. Saat melihat Laila termangu duduk di atas katil dengan kedua-dua tangan memegang kepala lutut Ain pasti ada masalah besar sedang melingkari teman akrabnya ini. Dan benar, bila Laila menceritakan segala-galanya apa yang berlaku, Ain bagai kehilangan kata-kata.


"Huzair datang cari jumpa aku. Ain. Dia datang jumpa aku. Kenapa dia cari aku lagi, Ain. Kenapa?" Itu kata-kata Laila dengan nada suara yang jelas gementar dan penuh kesedihan. Kesedihan yang sudah lama terlipat kemas didalam sejarah hidup teman akrabnya ini. Dan kini lipatan kisah pilu yang sekian lama terhakis dari ingatan itu tiba-tiba kembali menjelma didepan mata.


Ain cuba mengumpul ketenangan. Persoalan ini bukan remeh. Ain kenal Huzair. Cukup kenal dengan lelaki yang nama lengkapnya Tengku Huzair Tengku Hishamuddin.


"kau dah beritahu Wazif?"


Kepala Laila menggeleng. Ain mengeluh perlahan. Sedikit kecewa.


"kenapa tak beritahu dia?"


Kepala Laila terus menggeleng. Kedua-dua belah tangan erat memaut kepala lutut yang rapat ke dada. Sungguh Laila tidak tahu dan pasti apakah dengan memberitahu apa yang terjadi tadi antara dirinya dan Huzair adalah sesuatu tindakan yang betul. Selama hubungan mereka, Laila tidak pernah sekali menceritakan tentang hubungannya dengan Huzair..tentang kisah cintanya dengan lelaki itu. Lelaki yang pernah bergelar tunangannya. Laila tidak ingin mengenang kembali cerita pilu yang sudah terjadi. Laila sudah buang jauh jauh sejarah dirinya dan Huzair. Dilontarkan ke gaung yang paling dalam. Dipasakkan ke dasar paling kelam agar tidak muncul ladi dipermukaan hidup ini. Itu sebabnya tidak pernah sekalipun disebut nama lelaki itu dihadapan Wazif. Tapi sekarang lelaki itu muncul tiba-tiba dalam hidupnya. Kehadiran yang tidak pernah dialu-alukan. Kemunculan dengan niat mahu menyambung kembali ikatan mereka yang terlerai dahulu. Gila!


"aku tak tahu dan pasti samada nak beritahu dia atau tidak, Ain. Aku sungguh tak tahu. Aku tak mahu libatkan dia dalam hal ni. Ini antara aku dan Huzair. Kalau boleh aku nak selesaikan sendiri."


Ain menggeleng kepala. Kedua-dua belah tangan mencekak pinggang. Tubuh yang tadi berdiri dihadapan Laila dilabuhkan duduknya disebelah temannya itu.


"aku tak fikir tindakan kau ni tepat, Laila. Kau pun tahu dan kenal Huzair tu macammana kan. Kau jangan bertindak sendirian dalam. kau perlukan Wazif. Dan kau juga harus ingat yang Wazif tu bukan oranglain dalam hidup kau sekarang ni. Kau lupa ke, dia tu teman lelaki kau..bakal suami kau. Maknanya dia ada hak nak tahu dalam hal-hal yang melibatkan diri kau. Aku tak mahu nanti tindakan kau ni akan buat dia kecewa. Rasa dipinggirkan. Jangan nanti sampai dia anggap dia tu tak penting dalam hidup kau hingga kau singkirkan dia dalam hal besar macam ni. Fikir baik-baik, Laila."


Laila meraup wajah seketika. Dilepaskan nafas dalam dalam. Cuba dihadam butir bicara Ain sebentar tadi. Kata-kata Ain menghentam dibenak. Bukan..bukan itu niatnya. Laila tiada niat mahu membelakangkan Wazif. Sungguh tidak. Jauh sekali mahu atau dengan sengaja menyingkirkan lelaki itu didalam perkara yang melibatkan dirinya. Tapi hal ini...ia adalah hal yang melibatkan masa lalunya dan Laila tidak fikir adil untuk Wazif dilibatkan. Dia tidak mahu menyusahkan lelaki itu.


"aku tak ada niat nak singkirkan dia dalam hal ni, Ain. Langsung tak ada niat aku sampai ke situ. Cuma aku tak mahu nak menyusahkan dia dalam hal aku dan Huzair. Aku tak mahu dia susah hati. Aku tak mahu bebankan dia dengan masalah aku ini. Aku tak mahu nanti kalau Huzair tahu siapa Wazif ,Huzair akan jumpa Wazif. Aku..aku tak mahu Huzair ganggu Wazif,Ain. Aku kenal sangat perangai Huzair. Dia takkan mengalah."


Ain hela nafas. Dia faham perasaan Laila. Gadis ini sejak dahulu hanya akan memikirkan kepentingan oranglain daripada dirinya sendiri. Akan berkorban untuk oranglain. Bahu Laila dipaut. Diusap lembut.


"Aku faham hati kau. Aku cukup kenal kau,Laila. Kita berkawan bukan sehari dua. Tapi...dalam hal ni ..yang paling penting dan utama kau perlu beritahu Wazif. Kau kena cakap dengan dia. Dia kena tahu hal ni sebab ia melibatkan diri kau. Kau tu bakal isteri dia. Kau fahamkan maksud aku. Kau kena sensitif dalam perkara ini Laila. Apa-apa pun kau kena libatkan Wazif. Biar dia tahu. Masalah kau..masalah dia juga. Biar dia tahu perkara ini. Kau ceritalah pada dia semuanya. Jangan simpan atau sembunyikan apa-apa daripada dia."


Laila tatap wajah Ain. Dilihat Ain menganggukkan kepala. Dihela nafas dalam-dalam. Seraut wajah lelaki yang bertakhta di hatinya saat ini terlayar di minda.


* * * * * * *


Butang di N9 ditekan. Nama yang tertera di skrin ditatap seketika. Dipejamkan mata. Lama lama. Dicelikkan kembali. Ditatap nama di skrin sekali lagi. Dilafazkan bismillah. Ibu jari yang runcing menekan butang hijau. Dilekatkan gajet ke cuping.


"assalamualaikum." Huluran salam dari suara di talian sana menusuk ke gegendang hati. Laila telan air liur. Perlahan dijawab salam.


"awak ada masa tak malam ni?" Telinga menangkap ketawa manis dari Wazif. Laila ketap bibir. Debaran di dada mula menyapa. Cuba ditenangkan hati. Cuba ditenteramkan perasaan.


"untuk awak,insyaallah...saya sentiasa ada masa, Laila. Saya akan cuba adakan masa itu demi awak. You're always my first priority. Remember,hmmm?." Laila tekup mulut seketika. Cukup terharu dengan kata-kata Wazif.


"Awak nak jumpa saya ke, hmmm." Laila angguk kepala perlahan. Seakan pasti yang Wazif dapat melihat reaksinya terhadap pertanyaan tersebut. Saya perlu jumpa awak, Wazif. Perlu!


"Hmmm. Boleh ke?"


"untuk awak...saya akan bolehkan,insyaallah."


Laila kemam bibir lagi. Terkesima dengan kata-kata Wazif. Lelaki ini sentiasa mendamaikan jiwa dengan kata-katanya yang menyentuh naluri.


"pukul berapa nak jumpa,hmmm. Just tell me. I'll be there on time dear. "Laila urut dada perlahan. Kaki melangkah mundar-mandir diruang balkoni yang terhad.


"Sembilan, boleh?"


"Insyallah."


"Nak bincang pasal rancangan kita nak jumpa umi dan walid di kampung ke?"


Laila hela nafas. "Bukan. Bukan pasal tu. Lain. Saya..saya ada perkara nak beritahu awak. Perkara yang penting sangat, Wazif. Saya tunggu awak sampai,hmmm. Hati-hati drive nanti ok. Assalamualaikum."


Wazif jawab salam Laila. Samsung Galaxy ditangan direnung. Dahi berkerut sedikit. Nada suara Laila dipenghujung bicara mereka tadi getarannya berlainan sekali. Ada nada cemas yang terkesan di cupingnya. Seakan juga ada suatu bebanan yang tersangkut dari tiap kata-kata yang terlafaz.Wazif tidak tahu apa namun hati kecilnya kuat menyatakan gadis pujaan hatinya itu sedang menghadapi satu masalah yang besar.


Perkara penting?


Perkara apa?

Sunday, January 15, 2012

Kerana Aya Sofya - Bab 31


Bab 31


Laila geleng kepala. LV yang tersangkut dibahu sedikit mengelungsur. Pantas ditolak sedikit ke atas. Kunci ditangan erat digenggam. Langkah laju dari sepasang kaki yang bersarung ankle strap heel Vincci merah jambu dihala ke kawasan parkir. Tidak langsung dipedulikan sesusuk tubuh tegap yang terus mengekori dirinya sambil memujuk sejak dari pusat pameran tadi. Hati rasa sangat berbahang saat ini. Mengelegak dinding kesabarannya yang cuba dipertahankan sejak tadi. Kau tak faham bahasa ke, haa! Aku taknak dengar apa-apa lagi! Aku tak mahu!..Pergiiiii!


"Laila...tolonglah dengar." Tidak dihiraukan lelaki ini. Dihayun langkah.


Langkah terus diatur. Pantas. Laju. Myvi putih yang sudah kelihatan didepan sana didatangi dengan sederas yang mungkin. Tapi setakat manalah laju yang boleh dijana dengan kebaya dan tumit tinggi yang tersarung ditubuh. Tapi Laila tidak peduli. Kalau perlu disinsing kain dan dibuka kasut ini pun dia sanggup agar dia segera boleh sampai ke keretanya itu. Dia mahu cepat-cepat beredar. Dia mahu cepat-cepat keluar dari kawasan parkir ini. Dia tidak mahu berdua-duaan dengan lelaki yang satu ini. Dia tidak mahu!


Huzair terus mengekori dan menyaingi langkah Laila. Makin dipercepatkan langkah. Tidak ingin diri berjalan seiring dengan lelaki ini. Dipekakkan telinga dari mendengar setiap kata-kata yang terlontar keluar dari bibir itu. Nafas yang turun naik cuba ditenangkan. Yang lebih utama sekarang dia harus cepat-cepat sampai ke kereta. Laila mahu pergi dari sini secepat yang mungkin.


Laila..please. Tolonglah beri saya peluang bercakap. Tolonglah dengar dahulu."



Sudah sudahlah, Huzair. Aku tak ingin dengar walau sepatahpun kata-kata dari kau. Aku tak ingin nak dengar. Kau faham tak!


"Baliklah, Huzair. Jangan ikut saya lagi."


"Tidak, Laila. Selagi awak tak nak dengar apa saya nak cakap, saya akan terus ikut awak."


"Awak ni kenapa? Tak faham bahasa ke, Huzair!" Langkah makin deras. Huzair terus mengejar.


Entah kenapa diri ini diduga lagi. Laila jadi sebak. Laila jadi sedih. Dia tidak pernah mengimpikan pertemuan lagi dengan lelaki ini. TIDAK! Sudah dikuburkan wajah lelaki ini di dalam liang lahat hidupnya. Sudah dinyahkan nama lelaki ini dari muncul didalam kamus dirinya. Hatinya tidak mampu melupakan segala-gala yang pernah dilakukan dan dilontarkan lelaki ini dan juga keluarganya pada seluruh keluarga Laila bertahun-tahun dahulu. Segala bait kata-kata yang menghiris itu masih segar di minda hingga kini. Begitu terhinanya walid dan umi, Laila berlebih-lebih lagi. Sampai hati awak, Huzair! Sampai hati awak...


Benar...Laila tidak menyalahkan Huzair juga keluarganya atas segala yang terjadi antara mereka dahulu namun jauh disudut hati rasa kesal, rasa sedih dan terkilan itu sukar dihapus. Sukar dikikis. Rasa yang semakin kental dan sebati di jiwa. Mengapa begitu buruk sekali tanggapan lelaki yang cukup disayanginya ini suatu masa dahulu terhadap dirinya. Di mana kepercayaan lelaki ini terhadap Laila yang dahulunya diagung-agungkan. Di mana rasa cinta agung mereka dahulu yang terlafaz dan termeterai dihadapan masjid Haiga Sophia. Di mana segala janji-janji kau pada aku dahulu,Huzair. Kau lupa? Memang dasar lelaki pengecut! Lelaki penakut!


Tidak pernah terlintas di fikiran akan dipertemukan semula dengan insan yang pernah merobek seluruh hati dan perasaan perempuannya hampir sepuluh tahun lalu. Insan yang sewenangnya menjatuhkan hukuman paling kejam ke atas dirinya. Hukuman paling terhina buat diri seorang gadis yang tidak pernah sesekali menduakan rasa cinta dan kasihnya pada tunang yang begitu dihormati. Hukuman yang telah mencatat sejarah pilu didalam hidupnya. Kerana hukuman itu Laila tersingkir dari hidup umi dan walid. Umi dan walid malu mempunyai anak sehina Laila. Tidak walid!..Tidak umi! Laila tidak sehina itu. Laila masih waras. Laila takkan sesekali menconteng arang ke muka walid dan umi. Laila takkan melakukan dosa terkutuk itu. Laila masih kenal dosa pahala. Laila masih ada iman. Laila masih kenal sejadah...Laila masih ada kiblat. Aya Sofya tidak bersalah...kami tidak bersalah walid...umi. Mengapa walid dan umi tak percayakan Laila. Mengapa lebih percayalah orang lain dari anak sendiri? Mengapa?..


Laila hela nafas. Jari jemari pantas menahan manik-manik jernih dari menuruni kolam mata. Rasa sebak yang bertamu ditahan sedaya mungkin. Dia mahu kuat kala berhadapan dengan lelaki ini. Lelaki yang pernah menghancurlumatkan hatinya dahulu. Punat di tangan ditekan. Pemegang pintu pemandu dicapai. Namun tanpa diduga tangan Huzair turut sama memegang. Mahu menahan Laila dari memasuki kereta. Laila terjerit. Pantas tubuh tegap itu ditolak kebelakang. Mata mencerlung memandang Huzair yang mengangkat kedua-dua belah tapak tangan separas dada. Isyarat meminta maaf.


"Jangan kurang ajar, Huzair. Awak nak saya menjerit? Awak nak saya panggil security?" Sepasang bebola bundar Laila tajam memanah ke arah lelaki dihadapan. Kedua-dua belah tapak tangan dikepal erat. Kalau diikutkan hatinya yang berbahang amarahnya ini mahu sahaja dilayangkan penampar ke pipi licin Huzair. Atau lebih lagi dihayunkan buku limanya ke wajah tampan ini.



"Saya minta maaf, Laila." Laila memusingkan tubuh. Tidak dihiraukan kata-kata maaf Huzair. Pintu pemandu dibuka. Dilontarkan LV yang tersandang di bahu ke arah tempat duduk penumpang hadapan. Kembali dipusingkan tubuh mengadap lelaki dihadapannya ini. Kedua-dua belah tangan disilang. Dada turun naik menahan getaran rasa yang menghentam dinding hati. Seraut wajah yang dahulu dipuja seluruh jiwa. Seraut wajah yang telah meranapkan segala kepercayaan dan rasa cintanya terhadap janji yang pernah terlafaz. Seraut wajah yang telah memusnahkan impian bahagianya suatu masa dahulu.


"Jangan ganggu hidup saya lagi, Huzair. Cukup-cukuplah apa yang dah awak buat dahulu pada saya."


Huzair dilihat menggeleng. Laila ketap bibir. Dada kencang. Aliran darah memecut deras ke seluruh urat nadi.



"Saya tak boleh lupakan awak, Laila. Saya masih sayang dan cintakan awak. Tolonglah dengar apa saya nak cakap pada awak. Kita keluar ya. Sebentar pun tak mengapa." Huzair terus memujuk. Tidak mahu mengalah. Huzair tahu Laila dihadapannya ini bukanlah Laila bekas tunangannya hampir sepuluh tahu dahulu. Laila dihadapannya ini keras jiwa dan hatinya. Tidak langsung dilihat sisi lembut dan manja yang suatu waktu dahulu menjadi pengikat rasa kasih dan cintanya terhadap gadis ini. Laila dihadapannya ini sudah berubah.Sangat berubah. Dingin. Dan Huzair tahu dirinya antara penyumbang dan penyebab perubahan itu. Laila, maafkan aku...



Laila tersenyum sinis. Ketawa kecil terlontar keluar. Kepala digeleng perlahan.



"Huzair..Huzair. Awak ni memang lidah bercabang kan. Awak kata awak masih tak boleh lupakan perempuan ini ya. Hei, awak lupa ke. Perempuan yang sangat hina dan kotor di depan awak ini. Perempuan bekas tunangan awak yang pernah curang dengan lelaki lain. Perempuan yang awak kata berzina dengan lelaki lain hingga dapat anak luar nikah ni yang awak kata masih sayang dan cinta. Awak ni dah kenapa haa. Dah gila ke? Mana hilangnya akal yang waras tu? Awak kan lelaki hebat. Punya karisma. Awak kan lelaki dari keturunan baik-baik, ternama, terkenal. Awak kan kata pada perempuan hina ini dahulu yang lelaki macam awak hanya layak untuk perempuan yang baik-baik sahaja. Perempuan yang dari keluarga baik-baik. Perempuan yang tahu jaga diri..jaga maruah diri. Bukan perempuan macam yang didepan awak ni. Awak dah lupa ke, Huzair? kalau awak lupa, saya nak kembalikan ingatan awak semula. Saya ni perempuan bekas tunangan awak yang curang. Bekas tunangan awak yang berzina dengan lelaki lain sampai ada anak luar nikah yang disembunyikan demi menutup kesalahan diri namun akhirnya terbongkar juga. Saya ni jijik kan. Jijik sangat-sanagt. Saya ni lebih hina dari anjing! Saya ni perempuan yang pandai berpura-pura berakhlak baik tapi hakikatnya lebih hina dari pelacur. Itu yang awak cakap dahulu kan. Awak dah lupa ke, Huzair?"



Huzair hela nafas. Dia tidak akan membalas segala hamburan kata-kata sinis Laila terhadapnya. Dia sedar semua yang berlaku dahulu memang salahnya. Dia memang khilaf dan jika Laila mahu memaki hamun dirinya juga dia sangggup menadah telinga. Dia rela jika gadis ini mahu memukul dirinya sepuas-puasnya. Dia tidak akan berganjak walau seincipun. Biarlah. Asalkan Laila puas. Asalkan Laila lega. Asalkan Laila mahu memaafkan segala kesalahan dan keterlanjuran kata-katanya dan tuduhannya terhadap Laila.



"Laila..." Wajah ayu bertudung ungu muda yang enggan memandang ke arahnya ini ditatap. Wajah yang berpaling ke arah jalan utama di seberang sana. Huzair tahu Laila masih terluka dengan apa pernah terjadi antara mereka dahulu. Dia sedar kini. Hatinya hanya pada Laila. Dia tahu akhirnya yang Laila sebenarnya tidak bersalah. Laila tidak pernah curang padanya. Laila tidak pernah sesekali menduakan cintanya. Aliyana dan Fakhrul sudah menjelaskan segala-galanya. Huzair malu kerana bersikap terburu-buru. Huzair kesal kerana kejam terhadap Laila. Gadis ini hanya mangsa amarahnya yang melulu. Laila hanya memegang janji dan amanah yang terlafaz antara dirinya dan Aliyana. Dan kerana itu dia nekad mencari Laila. Mencari bekas tunangannya itu. Hatinya tidak pernah tenang sejak tahun-tahun kebelakangan ini. Huzair sedar dia berhutang maaf pada Laila...pada keluarga gadis ini.



"Saya tahu saya bersalah pada awak...pada keluarga awak. Saya berdosa pada awak dan Keluarga. Saya tahu saya kejam pada awak..pada cinta kita. Saya tak sepatutnya tuduh awak begitu sekali. Saya terburu-buru menjatuhkan hukuman pada awak dahulu. Maafkan saya, Laila. Maafkan saya. Saya mohon dengan penuh rendah diri. Tolonglah maafkan saya. Saya mahu kita kembali seperti dahulu, Laila."


Laila hela nafas. Tangan yang bersilang ditubuh diturunkan. Pemegang pintu dicapai. Ditarik perlahan. Wajah memandang Huzair yang masih tunak berdiri dan merenung dirinya.


"Baliklah, Huzair. Jangan ganggu saya dan hidup saya lagi. Kita dah ada haluan hidup masing-masing. Masa sudah merubah segala-galanya. Kita dah berbeza. Saya bukan Laila yang dahulu. Saya dah lupakan segala-gala yang pernah terjadi antara kita dahulu. Awak juga harus lupakan saya. Mulakan hidup baru. Awak dengan hidup awak. Saya dengan hidup saya."


"Laila...please. Saya masih sayangkan awak. Saya masih cintakan awak.. Saya mahu kembalikan cinta kita dahulu. Tolonglah beri saya peluang tebus kesilapan saya dahulu pada awak."


Laila menggeleng kepala.


"Antara awak dan saya dah tak ada apa-apa lagi. Jauh sekali rasa cinta. Cinta saya pada awak dah mati sepuluh tahun dahulu, Huzair. Dah saya kuburkan. Dah bersemadi di liang lahat. Takkan mungkin hidup semula. Cinta saya kini hanya pada kehidupan saya yang baharu. Saya tak mahu kenang lagi segala sejarah pahit itu lagi. Saya harap awak faham. Saya sudah bahagia dengan hidup saya yang baharu. Lepaskanlah saya dari ingatan awak."



"Tak mungkin, Laila. Tak mungkin saya lupakan awak. Saya tak akan mengalah, Laila. Saya akan berusaha untuk menangi hati awak semula dan dapatkan cinta awak semula. Saya akan pastikan itu, Laila. Saya hanya cintakan awak, Laila."



Laila menggelengkan kepala. Diloloskan tubuh ke dalam perut kereta. Disorongkan kunci pada lubangnya. Diputar perlahan. Wajah Huzair yang masih tercegat ditatap.



"Awak dah terlambat, Huzair. Dah terlambat. Saya tak mungkin cintakan awak lagi. Hati dan cinta saya ini kini milik orang lain. Hanya dia yang ada dalam hati saya."



"saya takkan mengalah, Laila. Saya takkan mengalah."



"Awak kena terima hakikat ini, Huzair. Hati saya milik orang lain. Dan saya takkan mungkin menduakan kasihnya dan cintanya pada saya. Saya takkan mungkin curang pada janji yang kami lafazkan."



Pintu ditarik. Huzair mengundurkan tubuhnya. Laila hela nafas dalam-dalam. Diturunkan brek tangan perlahan-lahan. Tangan kiri memegang gear. Ditolak perlahan. Stereng diputar. Myvi laju meluncur meninggalkan kawasan parkir yang kian sepi. Dari jauh, Huzair dilihat masih tidak bergerak. Masih terus memerhatikan Myvi yang dipandunya meninggalkan kawasan parkir. Laila hela nafas dalam dalam. Myvi terus dipecut memasuki jalan utama ke pusat bandar.



Mata Huzair terus memandang Myvi putih Laila meninggalkan kawasan parkir. Dihela nafas dalam dalam.



Aku takkan mengalah, Laila...

Saturday, January 14, 2012

YuNa - TeRukiR Di BinTaNg...(take a break geng...ngeh ngeh..)



hehehe saja nak share dengan semua kengkawan di sini....kucc sedang cari mood untuk next N3 ceritera Wazif & Laila and nilah pilihan kucc...

Dah dengar banyak kali lagu ni dari mula2x dulu masa one of member dalam geng kicap, Rinn yang juga kipas kerasmati Yuna btaw and till now tak pernah jemu...bestttttt gilerr...layannnn

Wednesday, January 11, 2012

Kerana Aya Sofya - Bab 30




Bab 30

"lega?"

Wazif yang manis tersenyum di kerusi pemandu dipandang. Senyuman dibalas. Tali pinggang ditanggalkan perlahan-lahan. Lega? Ya, kalau ditanyakan perasaannya memang perkataan itu yang paling tepat untuk menggambarkan rasa hatinya saat meninggalkan banglo indah keluarga lelaki ini sebentar tadi. Kenangan pertemuan pertama yang cukup indah dan sangat bermakna itu akan kekal tersemat di memori sampai bila-bila. Umi dan walid Wazif bagaikan memahami bahasa jiwanya. Diri disambut penuh terbuka dan mesra. Gementar dan gusar saat menjejakkan kaki ke banglo indah itu hanyut dibawa dingin angin malam dengan layanan penuh ikhlas dari mereka. Saat diminta memanggil mereka dengan panggilan umi dan walid, rasa terharu terus sahaja hinggap di hati. Dan rasa terharu itu makin merebak keseluruh sanubari kala kata-kata nasihat umi Wazif ditiupkan ke cuping telinga. Hebat wanita itu menakluk seluruh jiwa dengan sifat keibuannya yang sangat didambakan sekian lama. Melihat kasih sayang umi dan walid Wazif, jiwanya terkenangkan umi dan walid yang sudah lama meminggirkan dirinya dari hidup mereka. Moga umi dan walid sentiasa bahagia dan sejahtera. itu doanya saban waktu.

"awak tahu tak awak ni bertuah sangat..."

"bertuah macammana,hmmm.."

"bertuah ada umi dan walid yang cukup istimewa macam mereka berdua. Umi dan walid awak buat saya rasa macam dah kenal lama dengan diorang. Rasa keasingan tu memang tak ada langsung. Saya boleh sahaja bercakap apa sahaja dengan mereka tanpa segan-segan. Saya seronok tengok kemesraan mereka. I really admire their loving spirit. Saya rasa terharu dengan penerimaan mereka terhadap saya."

Wazif senyum. Bangga mendengar pujian Laila terhadap umi dan walid. Sememangnya dia rasa sangat bertuah dikurniakan ibubapa seperti mereka. Dan Wazif bangga serta terharu dengan sambutan umi dan walid terhadap Laila malam ini. Umi dan walid begitu memahami segala yang telah dan pernah dilalui Laila. Kasih sayang mereka pada gadis ini sekurang-kurangnya akan membuatkan Laila tidak akan lagi merasa keseorangan...merasa terpinggir.Tidak akan lagi merasa jauh dari kasih sayang seorang umi dan walid kerana umi dan walidnya akan juga nanti menjadi umi dan walid Laila. Itu pesan walid dan umi pada Laila tadi. Kata walid, Laila seperti anaknya maka kasih sayangnya akan kekal milik Laila. Wazif perasaan manik-manik jernih yang bergenangan didalam kolam mata bundar itu. Wazif tahu perasaan Laila. Bertahun-tahun segala rasa itu dipendam jauh didalam lubuk hati. Terpaksa dipendam kerana keadaan diri tidak memungkinkan perasaan itu dizahirkan biarpun dia begitu ingin melafazkannya. wajah yang cukup tenang disisinya ini terus ditatap. Rasa kasihnya makin utuh.

"awak pun bertuah juga.."

Laila angkat kening. Ketawa kecil. "saya bertuah? bertuah apanya tu."

Wazif angguk. Masih terus menjala senyum.

"Bertuah sebab dapat ibu dan bapa mertua macam umi dan walid saya." Wazif angkat kening. Mahu terus mencipta ceria. Mahu melihat wajah disisinya ini disimbah pelangi bahagia.

Laila geleng kepala. Terus ketawa.

"mananya ibu dan bapa mertua pulak. Kita belum ada apa-apa lagi....kahwin pun belum lagi lah , encik Wazif. Awak ni kan, buat kelakar pulak malam-malam ni."

Wazif pandang wajah Laila. Tidak berkelip. Lama.

Laila cuba mengalih pandangan ke arah lain. Rasa malu dan segan menyerbu naik bila ditatap sedemikian rupa.

"bila kita boleh kahwin?,hmmm."

Laila telan air liur. Terkedu dengan pertanyaan spontan Wazif. Tidak terduga diterjah dengan pertanyaan tersebut. Walau di dalam hati sudah mengembang rasa suka...rasa bahagia, menghadapi Wazif secara berdepan begini hijab diri tetap dijaga. Dia tidak tegar mempamerkan rasa itu dihadapan lelaki ini. Dia malu!

"erk...sa..saya..aw..awak..kita..." Bibir dikemam. Kedua-dua belah tapak tangan yang diramas terasa dingin. Wazif yang terus tunak memandang buat debaran di dada kian kencang.

Wazif ketawa kecil. Lucu melihat Laila yang ternyata cukup terkejut dengan pertanyaan spontan darinya. Mata masih melekat pada wajah yang cukup ayu dirasakan malam ini.

"saya awak apa, hmmm. Atau awak nak cakap awak memang tak sabar nak kahwin dengan saya."

"awakkkk!"

Laila ketap bibir. Mata spontan diterjah ke arah lelaki disebelah. Ketawa Wazif lepas. Pipi yang berbahang kian hangat dirasakan. Rasanya mahu sahaja dia terjun dari Harrier saat ini. Tidak sanggup memandang apatah lagi menatap wajah Wazif yang terus -terusan merenungnya. Debaran di dada terus memacu aliran darah ke setiap urat nadi. Ditundukkan kepala memandang riba.

"Lagi cepat..lagi bagus. Saya tak nak tunggu lama-lama lagi, Laila. Saya tak mahu kita terus buang masa. Saya mahu bina hidup bahagia bersama awak secepat mungkin. Wazif pandang susuk tubuh disebelah yang sedang tunduk.

"Laila..." Wajah yang menunduk dilihat perlahan-lahan tegak seraya mengalih pandangan padanya.

"kita balik jumpa umi dan walid awak hujung minggu ni,hmmm."

Laila tatap wajah Wazif yang bersinar. Ada gemerlapan cahaya bahagia yang terpancar di wajah lelaki disisinya ini. Laila hela nafas dalam-dalam. Ada debaran yang sukar ditafsir maknanya. Wajah umi dan walid silih berganti diruang mata.

Hujung minggu ini. Tarikh itu makin meniti di ruang mata. Ada pelbagai percikan rasa yang melimpahi kolam jiwa yang selama ini tenang serta penuh damai.

Ya, Tuhan...tenangkan hati hambamu ini. Tenangkan jiwa hambamu ini.


* * * * * * *

"cik Laila.." Mata yang tunduk mengadap fail hitam dihadapan ditegakkan. Wajah penat kak Wan cekap ditangkap bebola mata.


"ya kak Wan. Ada apa-apa masalah kat luar ke?"


Kak Wan mengeluh.


"ada dua officer dari Kuwait Finance di luar. Diaorang nak beli banyak kemeja dan kebaya batik sutera untuk diberikan pada staffs untuk majlis makan malam tahunan syarikat mereka. Diorang nak special price cik Laila. Saya dah code best price tapi diorang nak mintak diskaun lagi. Saya dah cakap ni sahaja best price yang kita boleh bagi. Diaorang nk jumpa pengurus. Nak tanya sendiri kenapa tak bolah dapat extra diskaun sebab diaorang nak beli banyak."


Laila angguk kepala. Sudah biasa berhadapan dengan karenah pelanggan-pelanggan korporat begini. Namun yang penting sebagai pengurus dia harus bijak mengendalikan keadaan. Situasi menang menang yang perlu difokuskan.


"berapa pieces dia nak order kak Wan? Banyak sangat ke,hmmm."


"300 pieces, cik Laila. 100 kemeja batik sutera lengan panjang untuk lelaki dan 200 kebaya batik sutera untuk perempuan. " Laila angguk kepala. Senyum dihulur pada kak Wan.


"tak apa, kak Wan. Jangan bimbang sangat ye. Tahulah saya nak cakap macammana dengan diorang tu. Saya jumpa diaorang sekarang. Mari, kak Wan."Laila mendepa tangan mempersilakan kak Wan untuk melangkah dahulu sebelum dia kemudiannya mengekori langkah penyelianya itu ke ruang pameran.


Langkah diatur kedua-duanya ke ruang pameran Karyaaneka. Dari jauh Laila dapat melihat dua lelaki berpakaian kemas sedang berdiri sambil berbual dengan Zarida di kaunter penyambut tetamu. Kak Wan menunjukkan kepada Laila lelaki berkemeja merah jambu jalur putih yang sedang membelakangi mereka. Kata kak Wan lelaki itulah yang beria-ia dan mendesak mahu berjumpa Laila sedangkan lelaki yang berkemeja biru langit disebelah tidak begitu mendesak.


"encik.." Laila yang berdiri disebelah kak Wan tersenyum manis. Kedua-dua lelaki itu berpusing kala mendengar suara kak Wan memanggil.


Laila telan air liur melihat lelaki yang berbaju kemeja biru langit yang sedang menatapnya tajam. Mata mereka terus saling memandang. Tidak berkelip. Nafas bergerak laju. Laila erat mengenggam kedua-dua tapak tangan. Ada rasa sakit yang kembali menjengah laman jiwa. Ada parut luka yang kian sembuh dirasakan terhiris kembali. Pekat darah yang dahulunya deras mengalir membasahi hamparan hati. Hamparan yang sekian lama disemadikan di lubuk paling dalam di ujana hatinya. Bukti yang menjadi sejarah paling pedih dalam hidupnya. Ada rasa kecewa yang sekian lama terkubur kini hadir mengetuk semula jendela hati. Mengapa harus dipertemukan lagi dia dengan lelaki ini. Ya, Tuhan. Dugaan apakah ini. Laila tidak ingin lagi melihat wajah ini. Sudah dilenyapkan jauh-jauh wajah ini dari menjengah layar hidupnya. Cukuplah segala yang telah dilakukan lelaki ini dahulu padanya...pada umi dan walid...pada seluruh keluarga mereka.


"kenalkan ini pengurus kami, cik Fahratul Laila. Inilah orangnya yang encik Zakuan dan encik Huzair nak jumpa sangat-sangat tadi. Bolehlah encik berdua bincang dengan cik Laila tentang harga tadi ye." Kak wan senyum seraya meminta diri. Lelaki yang bernama Zakuan menganggukkan kepala sambil tersenyum memandang Laila. Cuba disuring senyum sedaya mungkin. Lelaki itu dilihat terus memaku renungan padanya. Dihela nafas dalam-dalam.

Huzair... Mata masih memaku pandangan pada lelaki yang itu.


cik Laila?. Maknanya dia masih sendiri?..Atau...


Huzair hela nafas..dalam dalam. Mata terus memandang wajah indah berkebaya ungu muda dihadapan. Wajah insan yang cuba dijejaki sekian lama. Insan yang dicari sekian tahun. Antara mereka ada janji yang tidak tertunai. Itu khilafnya. Dia akur. Padahnya dirinya kini yang menanggungnya.


Laila....bertahun aku cari kau, Laila.


Laila....tolong maafkan aku. Aku silap, Laila. Aku tahu aku berdosa pada kau. Aku tak sepatutnya hukum kau.


Kembalilah semula pada Huzair, Laila...kembalilah